MotoGP: Sam Lowes Kembali Ke Moto2 Bagi 2018

 

  • Penunggang pasukan pengilang Aprilia MotoGP semasa, Sam Lowes, dikatakan telah menandatangani kontrak yang bakal menyaksikan kemunculan semulanya di kelas pertengahan Moto2 bagi 2018.
  • Lowes akan berlumba bagi pasukan CarXpert Interwetten Moto2 setelah mencapai kata sepakat sewaktu GP British pada hujung minggu lalu.
  • Penunggang semasa bagi pasukan CarXpert Interwetten, Thomas Luthi, akan berhijrah ke kelas MotoGP pada tahun akan datang bagi menyertai pasukan Marc VDS bersama dengan Franco Morbidelli.

 

Dengan ke semua tempat bagi pasukan MotoGP 2018 sedang penuh diisi, ianya kelihatan seperti penunggang semasa bagi pasukan Aprilia Racing Team Gresini, Sam Lowes, telah mengesahkan yang dia akan menyertai kelas pertengahan Moto2 untuk musim yang akan datang.

Penunggang berusia 26 tahun dari Lincoln, UK itu dikatakan telah menandatangani perjanjian dengan pasukan CarXpert Interwetten Moto2. Tempat yang bakal diisinya dalam pasukan itu adalah disebabkan oleh penunggang semasa mereka, Thomas Luthi, yang bakal berhijrah ke MotoGP pada tahun hadapan setelah menandatangani kontrak dengan pasukan Marc VDS.

Untuk mengetahui dengan lebiih lanjut mengenai penghijrahan Thomas Luthi ke MotoGP, TEKAN SINI.

Tiada pengumuman rasmi yang telah dibuat pada waktu ini namun kami telah dimaklumkan yang Lowes telah pun meninjau beberapa prospek yang bagus untuk kemunculan semulanya dalam kelas pertengahan itu. Persetujuannya bersama dengan pasukan CarXpert Interwetten tampak seperti langkah yang terbaik memandangkan penunggang semasa pasukan berkenaan, Thomas Luthi, adalah pencabar hebat bagi kejohanan dunia Moto2 2017.

Luthi kini berada di belakang pendahulu kejohanan, Franco Morbidelli dari pasukan Marc VDS, dengan perbezaan hanya beberapa mata sahaja. Dari segi teknikal, jentera Suter dan pasukan CarXpert Interwetten telah membuktikan diri mereka sebagai pasukan dan jentera yang bagus untuk penunggang sehebat Lowes untuk membolehkannya untuk terus kekal berdaya saing.

Kemunculan semulanya di Moto2 kelihatan seperti pilihan yang terbaik bagi Lowes buat setakat ini memandangkan lebih banyak tempat telah pun diisi dalam MotoGP. Kontrak Lowes bersama pasukan pengilang Aprilia MotoGP telah ditamatkan setelah satu musim perlumbaan serta pembangunan jentera perlumbaan Aprilia RS-GP yang sukar.

Aprilia pula telah menandatangani Scott Redding dan Jack Miller sebagai penunggang mereka untuk 2018 yang mana ianya telah memaksa Lowes untuk mencari alternatif lain bagi meneruskan kerjaya perlumbaannya.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penadatanganan penunggang pengilang Aprilia MotoGP 2018, TEKAN SINI.

Berdasarkan pengalaman, Sam Lowes merupakan pesaing Moto2 yang hebat beberapa tahun yang lalu. Pada waktu itu, dia telah bersaing untuk kejohanan dunia Moto2 dengan penunggang semasa bagi pasukan pengilang Red Bull KTM Factory Racing, Pol Espargaro. Akhirnya, Pol Espargaro muncul juara dengan Lowes tidak terlalu jauh di belakang dalam kutipan mata.

Adakah kita bakal menyaksikan Sam Lowes di tangga teratas podium Moto2 pada 2018? Segalanya yang dia perlu untuk menjadi juara telah pun tersedia, yang tinggal hanyalah bagaimana untuk memastikan mereka semua dapat bekerjasama secara harmoni.

Teruskan kekal setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini MotoGP.

Sumber gambar: MotoGP

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]