- Andrea Dovizioso (Ducati Team) telah merangkul kemenangan MotoGP keempatnya di GP British semalam yang diadakan di Litar Silverstone.
- Maverick Vinales (Movistar Yamaha MotoGP) dengan percaturan tayar belakang lembutnya telah membuahkan hasil apabila dia merentasi garisan penamat di tempat ke-dua di hadapan teman sepasukan, Valentino Rossi yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga.
- Marc Marquez (Repsol Honda) mengalami kerosakan enjin yang bukan sahaja menamatkan perlumbaannya, tetapi juga menyebabkan tempat pendahulu dalam kejohanannya yang kini telah diambil alih oleh Dovizioso dengan kelebihan sebanyak 9 mata.
Ianya merupakan satu lagi perlumbaan pada hari Ahad yang tidak dapat didugai pada GP British yang telah berlangsung semalam di mana Andrea Dovizioso dari pasukan Ducati bukan sahaja memenangi perlumbaan itu, malah dia juga turut merampas kedudukan teratas kejohanan dari penunggang Repsol Honda, Marc Marquez. Kejadian yang tidak dijangkakan ini telah berlaku di Litar Silverstone yang cukup ikonik.
https://www.facebook.com/MotoGP/videos/10156062825745769/
Ianya merupakan sebuah persembahan yang sempurna sekali dari Dovizioso dan jentera Ducati Desmosedici GP17-nya, yang telah mengekalkan rentak yang sekata sepanjang perlumbaan sebelum dia mengorak langkahnya dalam tiga pusingan yang terakhir. Jentera Ducatinya dengan aturacara reraup yang tradisional ternyata terlampau laju dan berkuasa, terutamanya pada jalan lurus di mana ianya secara purata 10km/j lebih laju berbanding dengan jentera RC213V tunggangan Marc Marquez.
Dengan Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) mendahului majoriti perlumbaan berkenaan, penunggang berusia 38 tahun dari Itali itu mula kehilangan rentaknya akibat isu pada tayar belakangnya. Selain daripada Dovizioso, Maverick Vinales (Movistar Yamaha MotoGP) juga turut merebut peluang dari situasi ini dengan memotong Rossi untuk merangkul tempat ke-dua. Rossi menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga di atas podium.
Percaturan untuk menggunakan tayar belakang lembut yang telah dibuat oleh Vinales telah membuahkan hasil apabila dia berjaya memastikan tayarnya mampu untuk bertahan sehingga ke penamat perlumbaan di mana dia hanya ketinggalan di belakang pemenang perlumbaan, Andrea Dovizioso, dengan jarak masa hanya 0.114 saat.
Bagaimanapun, tamparan yang hebat telah dialami oleh penunggang Repsol Honda Marc Marquez. Setelah mendahului kejohanan ini ketika dia tiba untuk GP British ini, penunggang dari Sepanyol itu mempunyai rentak yang kuat bagi memenangi perlumbaan di hadapan penonton Britain, namun, jentera Hondanya telah mengalami kerosakan enjin yang amat jarang sekali berlaku sewaktu bersaing dengan kelompok hadapan.
https://www.facebook.com/MotoGP/videos/10156062766980769/
Sebaliknya, wira anak watan, Cal Crutchlow (LCR Honda) melintasi garisan penamat di kedudukan ke-empat. Penunggang dari Britain itu berlumba dengan cemerlang sekali dan berjaya untuk kekal bersama kelompok hadapan bersama-sama dengan penunggang pasukan pengilang di sepanjang keseluruhan perlumbaan. Crutchlow menamatkan perlumbaan ini sebagai penunggang bebas di kedudukan teratas bagi pusingan ini.
Dengan Kemenangan Dovizioso serta nasib malang yang telah menimpa Marquez dengan kegagalan enjinnya itu, Andrea Dovizioso kini mendahului kejuaraan dunia MotoGP 2017 dengan 183 mata; 9 mata di hadapan Marc Marquez yang kini jatuh di anak tangga ke-dua dengan 174 mata. Maverick Vinales masih kekal di tempat ke-tiga dengan 170 mata, diikuti oleh Rossi dengan 157 mata.
Berbakikan enam pusingan, adakah Dovizioso serta Ducati akan meneruskan penguasaan mereka dan akhirnya merangkul takhta kejohanan yang menjadi buruan ini? Para penunggang dari Repsol Honda dan Movistar Yamaha perlu melakukan sesuatu dengan pantas sekarang kerana ianya kelihatan seperti DesmoDovi, pakar strategi perlumbaan, tidak dapat dibendung lagi.
Teruskan kekal setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini MotoGP.
Sumber gambar: MotoGP