Distinguished Gentleman’s Ride Malaysia 2017 – Mari Tampil Segak Bergaya Bersama-sama 24 September Ini!

 

  • Edisi Malaysia untuk Distinguished Gentleman’s Ride 2017 akan berlangsung di dua lokasi utama; Pulau Pinang dan Johor.
  • Edisi di Pulau Pinang akan diketuai oleh anak tempatan kita dari Rotten Motorcycles dan Riders Garage manakala di sebelah Johor Bahru pula akan diuruskan oleh Leftee Works bersama dengan sokongan dari Art of Speed Malaysia.
  • Acara seluruh dunia yang akan berlangsung pada hari Ahad, 24 September 2017 ini akan menyaksikan lebih daripada 70,000 penunggang dari lebih daripada 600 bandar berpadu tenaga bagi meningkatkan kesedaran akan kanser prostat dan kesihatan mental lelaki.

 

Distinguished Gentleman’s Ride (DGR) kini muncul kembali. Dengan Malaysia semakin ke arah tindakan yang proaktif berkaitan dengan tujuan DGR ini, negara kita sekali lagi akan mengambil bahagian dalam tunggangan istimewa ini pada hari Ahad, 24 September 2017.

Untuk tahun ini, akan terdapat dua lokasi utamayang akan mengepalai tunggangan DGR Malaysia iaitu di Pulau Pinang dan juga Johor. Untuk bahagian Pulau Pinang, anak-anak watan dari Rotten Motorcycles dan Riders Garage akan berpadu tenaga dalam menganjurkan DGR Edisi Pulau Pinang dengan sokongan padu dari Art of Speed Malaysia.

Distinguished Gentleman’s Ride Malaysia 2017 – Edisi PULAU PINANG

Komuniti permotosikalan dari wilayah Utara negara seperti Perak, Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang akan tampil segak bergaya mengambil bahagian dalam konvoi besar-besaran sekitar Bandar Khazanah UNESCO Pulau Pinang, Georgetown pada hari berkenaan.

Konvoi berkenaan akan membuat beberapa hentian di tapak serta bangunan khazanah di sepanjang perjalanan bagi menikmati pemandangan, peluang bergambar, dan juga untuk meningkatkan kesedaran terhadap kanser prostat dan juga kesihatan mental lelaki secara keseluruhan.

Tunjang belakang utama yang akan mengetuai acara di Pulau Pinang ini merupakan anak jati Pulau Pinang berusia 37 tahun, Wan Zamani Ahmad, pengasas Rotten Motorcycles. Bersama-sama dengan Jeremy Leong dari Riders Garage, mereka akan menjadi pendokong serta pengurusan utama bagi DGR Pulau Pinang 2017.

Sejajar dengan matlamat Distinguished Gentleman’s Ride untuk mengumpul dana serta meningkatkan kesedaran sebagai organisasi ‘non-profit’, mereka berdua akan melakukan segala termampu bagi menganjurkan acara ini sebagai kebajikan kepada masyarakat sekeliling.

Distinguished Gentleman’s Ride Malaysia 2017 – Edisi JOHOR BAHRU

Bagi mereka yang berada di wilayah selatan negara, anda tidak perlu risau jika tidak dapat menyertai edisi Pulau Pinang jika ianya terlalu jauh bagi anda kerana untuk tahun ini, Bandaraya Johor Bahru juga akan menyertai acara untuk tujuan murni ini bagi Distinguished Gentleman’s Ride 2017.

Acara di Johor Bahru akan diketuai oleh anak jati Johor berusia 34 tahun, Muhammed Khairul Neezal Razali dari Leftee Works, tukang keluli tembaga tempatan. Neezal yang akan menghimpunkan kesemua penunggang dari Johor dan juga penunggang dari Singapura untuk turut serta dalam tunggangan ini di negeri selatan tanah air itu.

Sebagai pendorong utama di sebalik kancah “Kustom Kulture” di Malaysia, Art of Speed Malaysia juga akan turut mengambil bahagian dalam tunggangan di Johor Bahru ini. Dengan tiga individu hebat mengepalai kesemuanya pada hari yang sama iaitu 24 September 2017, Art of Speed Malaysia akan menghulurkan bantuan dari segi pengalaman dan kemahiran luas mereka dalam penganjuran acara dan juga strategi pemasaran bagi memaksimakan kesedaran akan DGR, kanser prostat dan juga kesihatan mental lelaki.

Jika anda berminat untuk menaja sebarang acara DGR yang akan berlangsung di Pualu Pinang dan Johor, anda boleh merujuk sebarang permintaan atau pertanyaan anda kepada Asep Ahmed Iskandar (pengasas Art of Speed Malaysia) melalui emel [email protected] atau hubungi +6012-5639796.

Untuk tahun ini DGR menyasarkan lebih daripada 70,000 peserta yang akan muncul segak bergaya di seluruh dunia menunggangi motosikal klasik dan vintaj untuk satu tujuan yang baik.

Para peserta dari 600 buah bandaraya di seluruh dunia akan mengambil bahagian dalam acara satu hari ini bagi mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran terhadap kanser prostat dan program kesihatan mental bagi pihak rakan kongsi kebajikan rasmi, iaitu ‘Movember Foundation’.

Maklumat tambahan mengenai DGR adalah seperti berikut:

  • Diasaskan pada 2012 oleh Mark Hawwa, dari Sydney, Australia.
  • Mengumpul sejumlah $8juta untuk kebajikan sejak 2012.
  • Sasaran bagi 2017 untuk kanser prostat dan program kesihatan mental bagi pihak Movember Foundation.
  • 70,000 penunggang berdaftar untuk meraih dana dan menyertai acara dari 600 buah bandaraya di 95 buah negara bagi tahun 2017.
  • Duta selebriti antarabangsa
  • Ganjaran lumayan buat peraih dana dan juga penderma termasuk motosikal serta jam mewah dari penaja utama Triumph Motorcycles dan Zenith Watches.

https://youtu.be/qnRahYxTQgA

Untuk mendaftar, anda boleh layari https://www.gentlemansride.com/rides/malaysia. Bagi mereka yang tidak dapat hadiri konvoi di Pulau Pinang atau Johor Bahru, anda boleh juga mendaftar di bandaraya-bandaraya Kuala Lumpur, Ipoh, Kota Kinabalu, Kuching, Labuan, Melaka, atau Miri.

Teruskan kekal bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini DGR.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]