RASMI: 2017 BMW G 310 R akan hadir ke Malaysia 12 Ogos ini – RM26,900 (atas jalan tanpa insurans, termasuk GST)

BMW Motorrad mengesahkan kepada kami bahawa mereka pasti akan membawakan kepada peminat permotoran di Malaysia jentera bawah 500cc untuk menyaingi jentera jenama Jepun iaitu, BMW G 310 R, di acara BMW Motorrad GS Trophy 2017 South East Asia Qualifier pada 12 Ogos ini di Sepang.  

Satu silinder, ringan dan menampilkan prestasi dinamik penuh kuasa, BMW G 310 R serba baharu menyerlahkan karekter sebenar sebuah roadster BMW. Paling tepat digambarkan sebagai pragmatik, motosikal premium daripada BMW itu menawarkan apa yang diperlukan untuk prestasi dinamik dan keselesaan, sama ada ketika ditunggang di bandar atau laluan kampung.

Hadir dalam konsep keseronokan tunggangan yang sebenar, roadster baharu itu mengetengahkan enjin silinder tunggal dengan penyejukan cecair, empat injap, aci berkembar (DOHC) dan pancitan bahan elektronik bersesaran 313cc. Kapasiti 313cc itu adalah hasil daripada gerek 80 milimeter dan lejang 62.1 milimeter.

Ciri unik enjin tersebut ialah silinder yang diletakkan dalam kedudukan terbalik dalam reka bentuk dek terbuka, dengan kepala silinder diubah sebanyak 180 darjah. Ini membolehkan  salur kemasukan diposisikan di hadapan, jika dilihat dari arah pergerakannya. Dengan output kuasa 25kW (34hp) pada 9,500rpm dan tork maksimum 28Nm pada 7 500rpm, enjin G 310 R memang cukup dinamik apabila dipadankan dengan jentera tanpa beban seberat 158.5 kilogram.

Dari segi suspensi, G 310 R menawarkan kilasan yang keras, di samping kerangka tiub besi yang cukup tegar dalam struktur grid dengan kerangka belakang jenis bolt-on. Suspensi roda hadapan menggunakan fork jenis upside-down, manakala roda belakang menggunakan lengan ayun aluminium bersama topang gegelung yang dipasang terus di atas.

Sama seperti semua motosikal BMW, G 310 R baharu dilengkapi sistem brek ABS sebagai ciri standard. Ia menggabungkan satu sistem brek yang berkuasa dengan ABS dua saluran. Roda hadapan dipasang dengan brek cakera tunggal bersama angkup empat omboh dan cakera brek berdiameter 300 milimeter untuk memastikan jentera dapat dihentikan dengan stabil dan meyakinkan. Pada roda belakang, fungsi ini disempurnakan oleh angkup terapung 2 omboh bersama cakera brek bersaiz 240 milimeter. Kluster instrumen G 310 R terdiri daripada paparan cecair kristal yang menawarkan kejelasan terbaik dan pelbagai jenis maklumat.

Merapatkan jurang di antara zaman lampau BMW Motorrad dan kejuruteraan masa depan BMW, pemetaan enjin BMW G 310 R serba baharu telah ditala semula untuk memenuhi piawaian pencemaran EU4. Kadar penggunaan bahan api kekal pada 3.3 liter bagi setiap 100 kilometer. Pada masa yang sama, ventilasi tangki juga dinaik taraf menerusi pengenalan pengubah bermangkin gelung tertutup 3-cara.

BMW G 310 R akan dilancarkan secara rasmi pada acara Pusingan Kelayakan BMW Motorrad GS Trophy 2017 Asia Tenggara. Ia bakal berada di semua bilik pameran sah BMW Motorrad mulai minggu depan.

Harga BMW G 310 R adalah RM26,900 (atas jalan tanpa insurans, TERMASUK GST)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]