- Motosikal Superbike Ducati V4 yang baru mungkin sekali akan diperkenalkan lebih awal dari apa yang kami jangkakan berdasarkan sumber beberapa media permotoran Itali yang telah menerima jemputan ke sebuah acara Ducati pada 7 September 2017.
- Acara yang dianjurkan oleh Ducati itu bersempena dengan pusingan MotoGP Misano yang akan berlangsung pada hujung minggu itu dari 8 hingga 10 September 2017.
- Ianya telah dikatakan bahawa acara ini akan memperkenalkan “the sound of a new era” yang mana bagaikan merujuk kepada kemunculan enjin empat silinder motosikal superbike keluaran Ducati pada acara tersebut.
Menurut beberapa laporan terkini yang telah dibuat oleh media antarabangsa Itali, mereka telah melaporkan bahawa mereka menerima jemputan ke sebuah acara anjuran Ducati di Misano World Circuit Marco Simoncelli pada 7 September 2017; sehari sebelum permulaan hujung minggu MotoGP di litar legenda itu.
Walaupun ianya bukanlah sesuatu yang jarang didengari bagi pengeluar seperti Ducati menganjurkan acara bersempena dengan acara utama sukan permotoran seperti MotoGP, Kami mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mereka mungkin sahaja akan memperkenalkan motosikal superbike keluaran Ducati janaan V4 terkini.
Berdasarkan laporan yang telah dibuat oleh media Itali, mereka telah mendakwa bahawa acara itu akan menandakan “the sound of a new era” yang mana ianya akan diperkenalkan oleh Ducati. Perkara ini sahaja sudah cukup meyakinkan kami yang enjin V4 yang baru itu akan tiba lebih awal daripada yang telah dijangkakan dalam menggantikan motosikal superbike Ducati janaan V-berkembar yang ikonik yang terdapat dalam rangkaian Ducati Panigale.
Terdapat juga spekulasi yang mengatakan Ducati hanya akan memperkenalkan enjinnya dan bukannya motosikal yang lengkap bagi memberi gambaran samar kepada media dari Itali. Kami menganggap yang telahan ini berkemungkinan besar adalah benar, kerana Ducati mungkin sekali ingin menyimpannya sebagai pengumuman utama bagi Pertunjukan EICMA Milan yang akan berlangsung pada bulan November nanti.
Walau apapun acaranya nanti, kami pasti yang motosikal superbike V4 terbaru dari Ducati ini pasti akan memeriahkan lagi dunia permotosikalan. Persoalannya adalah sama ada ianya cukup berkuasa untuk menakluki WorldSBK dan memonopoli pasaran.
Sumber: Asphalt & Rubber