Rangkaian Polaris Slingshot 2018 Terbaru Diumumkan Dari $19,999 (RM85,595)

 

 

  • Rangkaian Polaris Slingshot 2018 telah dikemaskini dengan beberapa penambahbaikan yang baru termasuk model Polaris Slingshot SLR 2018 ‘Edisi Khas’.
  • Kesemua model terkini Polaris Slingshot dijana oleh enjin empat silinder 2,384cc DOHC, VVT, yang menghasilka 173hp dan 225Nm tork.
  • Terdapat empat model yang disediakan untuk tahun 2018 bermula dari $19,999 (kira-kira RM85,595) iaitu model S, Sl, SLR, dan juga SLR LE.

 

Rangkaian Polaris Slingshot 2018 baru sahaja telah diumumkan dengan beberapa penambahbaikan baru yang termasuk sebuah model edisi terhad Polaris Slingshot SLR 2018. Rangkaian Slingshot 2018 yang serba baru ini bermula dengan Polaris Slingshot S diikuti Polaris Slingshot L, Slingshot SL, Slingshot SLR, dan juga Slingshot SLR Edisi Terhad.

Selain daripada rupanya yang telah dikemaskini, tambahan terbesar bagi model terbaru 2018 merupakan sistem ‘Ride Command’ yang terbaru yang mana merangkumi paparan maklumat pelbagai sentuh tujuh inci beserta Bluetooth, capaian telefon, port USB, serta skrin yang boleh diubahsuai sepenuhnya bagi memaparkan maklumat yang penting kepada penunggang (kecuali untuk Model S).

Bagi mereka yang kurang arif mengenai motosikal ‘trike’ Polaris Slingshot, ianya dijana oleh enjin 2,384cc DOHC,VVT, empat silinder yang menghasilkan sejumlah 173hp pada 6,200rpm dan 225Nm tork pada 4,700rpm. Kesemua kuasa itu didorong ke roda belakangnya melalui transmisi “Syncromesh” lima-kelajuan dengan tali sawat diperkukuhkan dengan gentian karbon sebagai pacuan terakhirnya.

Bagi model SLR dan SLR LE pula, sistem ‘Ride Command’-nya didatangkan dengan navigasi ‘turn-by-turn’ sebagai kelengkapan standard namun ianya juga boleh didapati sebagai perincian tambahan untuk dua model asas yang lain.

Bercakap mengenai Slingshot SLR 2018 edisi terhad, suspensi bolehlaras spenuhnya Bilstein telah pun dilengkapkan padanya bagi tunggangan serta prestasi hebat bersama dengan tempat duduk lumba dan alas. Bagi memastikan penunggang mendapat kualiti bunyi yang terbaik, SLR LE juga dilengkapkan dengan sistem audio 200-watt Rockford Fosgate bagi hiburan pengguna.

SLR LE didatangkan dalam warna Ghost Grey dengan kemasan warna Lime Squeeze dan grafik edisi khas. Bagi pasaran Amerika Syarikat, Polaris Slingshot SLR LE 2018 ini telah ditetapkan harganya pada $30,999 (sekitar RM132,675 selepas pertukaran terus).

Bagi model asas Polaris Slingshot S 2018 pula telah didatangkan dalam warna Gloss Black dan akan boleh didapati pada harga yang lebih rendah iaitu $19,999 (kira-kira RM85,595 selepas pertukaran terus) berbanding dengan model 2017 yang pada mulanya dinilai $2,000 lebih mahal darinya.

Slingshot SL 2018 datang dalam dua warna iaitu Navy Blue dan Sunset Red pada harga $25,499 (kira-kira RM109,135). Kos tambahan itu membolehkan anda mendapat kamera mengundur, penghadang angin, tempat duduk berwarna, pakej audio Rockford Fosgate dan seperti yang telah dinyatakan di atas, sistem ‘Ride Command’.

Laburkan sedikit lagi dan anda akan mendapat Slingshot SLR 2018 pada harga $28,999 (sekitar RM124,115) dengan pilihan warna sama ada Electric Blue atau Orange Madness. SLR ini dilengkapi dengan sistem navigasi, tempat duduk lumba, stereng Sparco, shifter dan pedal, roda aluminium dan tayar belakang yang lebih besar 305mm serta cakera brek komposit dan juga penghadang angin bertinta.

Rangkaian Polaris Slingshot 2018 bakal tiba di pasaran Amerika Syarikat menjelang September. Untuk Malaysia (malahan bagi rantau Asia) pula, kita hanya mampu menatap gambar di atas talian buat masa ini.

Sumber: Polaris

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.