- Ducati Malaysia (Next Bike Sdn Bhd) akhirnya telah memperkenalkan varian Ducati Scrambler mereka iaitu Ducati Scrambler Cafe Racer dan Desert Sled 2017.
- Pelancaran itu telah diadakan petang semalam di festival Art of Speed Malaysia 2017, festival “Kustom Kulture” dan “Ol-Skool” utama anjuran anak watan Malaysia.
- Kedua-dua varian Ducati Scrambler terbaru ini telah diletakkan harganya pada RM68,899 (asas beserta GST).
Next Bike Sdn Bhd, Pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia akhirnya telah melancarkan varian terkini Ducati Scrambler mereka iaitu Ducati Scrambler Cafe Racer dan Ducati Scrambler Desert Sled 2017. Pelancarannya telah diadakan di festival tahunan Art of Speed Malaysia pada petang semalam di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Varian terkini Ducati Scrambler ini dipilih untuk membuat kemunculan sulungnya di acara “Ol-Skool” dan “Kustom Kulture” terulung anjuran anak negara Malaysia oleh kerana tarikan pengkhususan bersama dengan pengeluar dari Itali itu yang telah menerapkannya di sanubari kedua-dua tawaran terbaru Ducati berkenaan.
“Sejajar dengan dunia pengkhususan, motosikal Scrambler adalah model yang teramat popular di Malaysia dan kami berasa amat berbesar hati untuk mengumumkan ketibaan varian Cafe Racer dan Desert Sled yang amat dinanti-nantikan yang kini berada di tanah air kita.”, ujar Encik Fazli Hisham, Pengerusi Next Bike Sdn Bhd.
Mirip dengan model Ducati Scrambler yang lain kecuali model Sixty2, kedua-dua Cafe Racer dan Desert Sled ini dilengkapi dengan enjin Desmodromic, L- berkembar, 803cc yang mampu menjana sehingga 73hp pada 8,250rpm dan 67Nm tork pada 5,750rpm. Dari segi penggayaannya pula, kedua-dua Cafe Racer dan Desert Sled ini menarik minat sebahagian besar orang ramai serta penggemar motosikal terutamanya mereka yang ada di dalam kancah pengkhususan yang semakin berkembang di dalam negara.
Ducati Scrambler Cafe Racer 2017.
Varian Cafe Racer ini memberikan penghormatan hebat kepada banyak motosikal-motosikal legenda yang telah mendahuluinya dalam dunia motosikal dan Ducati Scrambler yang amat istimewa ini diterapkan dengan intipati gaya serta semangat kebebasan. Diinspirasikan dari waktu kegemilangan motosikal pada tahun 1960-an, kemasan warna ‘Black Coffee’ tampak begitu cocok sekali dengan motosikal terkini dari “Land of Joy” Ducati.
Seperti kebanyakan daya penarik sebuah motosikal cafe racer, versi Ducati Scrambler ini menawarkan pelbagai pilihan pengkhususan termasuklah panel badan yang boleh diubah untuk mendapatkan tangki bahanapi “teardrop” yang cukup mempersonakan yang akan membantu menambahkan lagi sentuhan peribadi seiring dengan pelananya yang baru.
Direka khas untuk motosikal Cafe Racer ini, rekaan pelana serba baru itu didatangkan lengkap dengan penutup pelana pembonceng untuk masa-masa yang anda ingin menunggang bersendirian dengan penuh bergaya. Palang pemegang serta cermin sisinya juga diilhamkan dari motosikal-motosikal inspirasi perlumbaan dari zaman 1960-an hingga awal 70-an.
Penambahan yang paling menarik pada pendapat kami sudah semestinya sistem ekzos Termignoni dengan sistem peredam berganda yang menghasilkan eraman dan raungan yang cukup mengasyikkan ketika memecut di atas lebuhraya dan pada masa yang sama meningkatkan lagi prestasi keseluruhan Ducati Scrambler terbaru ini.
Penggayaan yang sekata dapat dilihat di sepanjang motosikal ini bermua dari reraup lampu hadapannya, pemegang nombor plet sisi, dan roda aluminium 17 incinya yang dilitupi dengan tayar Pirelli Diablo™ Rosso II yang kelihatan amat moden bagi memberikan cengkaman tambahan dan penghayatan penunggangan sepenuhnya. Bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih ‘jahat’ tanpa menggadaikan sebarang tarikan pasti akan serasi dengan Ducati Scrambler Cafe Racer terbaru ini.
Bagi mereka yang berminat untuk memiliki motosikal Ducati Scrambler Cafe Racer pasti akan gembira dengan harga yang telah ditetapkan iaitu RM68,899 (asas beserta GST). Kesemua motosikal Ducati baru yang dibeli dari mana-mana bilik pameran Next Bike Sdn Bhd yang disahkan juga berhak ke atas Ducati Smart Service dimana para pelanggan dapat menikmati tawaran dan penjimatan yang hebat.
https://youtu.be/ls4tUJxx9mI
TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut kempen Ducati Smart Service.
Ducati Scrambler Desert Sled
Bagi mereka yang memerlukan sesuatu yang lebih lasak dan teguh bolehlah memilih Ducati Scrambler Desert Sled 2017 yang begitu cantik ini. Didatangkan terus dari padang pasir dan pergunungan California, tawaran terkini dalam rangkaian Ducati Scrambler ini merupakan versi motosikal enduro yang diinspirasikan oleh motosikal ‘off-road’ yang telah mencipta sejarah pada zaman kegemilangan 1960-an dan 1970-an.
Menunggang di padang pasir memerlukan beberapa pengubahsuaian dan pengemaskinian tambahan pada motosikal jalanan yang standard yang mana ia adalah inspirasi utama bagi Desert Sled ini. Dibina untuk ketahanan lasak yang tiada tolok tandingnya, motosikal Desert Sled ini dilengkapi dengan posisi menunggang yang agak berbeza kerana kedudukan pelananya yang lebih tinggi, kerangkanya yang telah diperkuat, dan didatangkan dengan suspensi bolehlaras sepenuhnya bagi keriangan menunggang yang optimum.
Motosikal desert Sled terbaru ini juga didatangkan dengan perlindungan enjin tambahan dan roda hadapan yang lebih besar 19 inci manakala roda belakangnya pula pada 17 inci yang dilitupi sepasang tayar Pirelli Scorpion™ Rally STR bagi memastikan cengkaman tambahan pada permukaan bumi yang kurang cengkaman terutamanya untuk motosikal di atas jalanraya biasa.
Motosikal Desert Sled ini mampu beraksi dengan baik sekali di atas jalan yang berturap namun untuk menikmati kehebatan sepenuhnya motosikal Ducati Scrambler ini, ianya seharusnya dilepaskan bebas beraksi di permukaan bumi ‘off-road’ di mana penunggang mampu menunggangnya dengan gaya, sifat dan sanubari sebuah motosikal buatan Ducati.
Motosikal Ducati Scrambler Desert Sled ini juga telah ditetapkan harganya pada RM68,899 (asas beserta GST). Bagi mereka yang berada di sekitar Serdang bolehlah berkunjung ke Art of Speed Malaysia 2017 yang sedang berlangsung di MAEPS dan kunjungilah tapak Ducati Scrambler untuk tawaran serta promosi yang hebat sekarang.
https://youtu.be/9cLdtI9Ry-I
Ducati Scrambler Cafe Racer
Ducati Scrambler Desert Sled