- KTM telah mengumumkan bahawa KTM RC390 2017 terbaru mereka akan menerima beberapa kemaskini penting yang terbaru termasuk satu sistem pendikit ‘ride-by-wire’.
- Kemaskini lain termasuk ‘power assist slipper clutch’, ekzos yang dilekap secara sisi, dan cakera brek hadapan lebih besar untuk peningkatan prestasi keseluruhan.
- KTM juga telah menyatakan bahawa motosikal RC390 terbaru ini mempunyai ergonomik yang lebih baik dengan klac dan tuil brek bolehsuai, cermin sisi yang lebih lebar, dan pelana yang direka semula untuk keselesaan yang lebih hebat buat penunggang serta pembonceng.
Pengeluar motosikal terkemuka Austria, KTM, telah mengumumkan bahawa motosikal RC390 2017 mereka akan menerima beberapa kemaskini yang amat menarik yang kami pasti akan mengujakan para penggemar permotoran yang ada dalam kancah ini.
Seperti yang telah dinyatakan pada tajuk artikel ini, motosikal KTM RC390 terkini ini akan mendapat sistem pendikit ‘ride-by-wire’ yang didakwa KTM akan membantu memberikan pecutan yang lebih lancar dan agihan kuasa terkawal dari enjin satu silinder sejukan cecair 373ccnya itu. Sistem baru ini juga dikatakan mampu meningkatkan lagi kecekapan bahanapi keseluruhan motosikal ini.
KTM juga mengatakan bahawa generasi terkini RC390 ini akan didatangkan dengan ‘power assist slipper clutch’ bagi membantu dengan peningkatan keseluruhan pengalaman penunggangan dan juga bagi memudahkan motosikal ini untuk bergerak. Fungsi klac ‘slipper’ ini juga adalah untuk mengelakkan sebarang ‘rear wheel lock’ semasa penunggang menukar kegear yang lebih rendah dari kelajuan yang lebih tinggi.
TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai ‘slipper clutch’ dan bagaimana ia berfungsi.
Seperti mana yang telah kita saksikan pada pertunjukan EICMA pada tahun lalu di Milan, motosikal 390 DUKE telah dilengkapkan dengan ekzos yang dilekap secara sisi baru yang mana ianya akan juga didatangkan bersama dengan RC390 yang dikemaskini ini. Rekaan peredam ekzos dilekap secara sisi tradisional telah diterapkan bagi memastikan yang motosikal RC390 terbaru ini mematuhi peraturan tegas Euro4.
Walaupun ianya dibuat bagi memenuhi peraturan emisi yang ketat, motosikal RC390 yang baru ini dikatakan mampu memberikan kuas kuda tambahan lebih besar dari pendahulunya dengan 44hp dan 35Nm tork. Terdapat juga perubahan lain yang membantu dalam meningkatkan lagi tahap ergonomik RC390 ini seperti tuil brek dan klac yang bolehsuai, cermin sisi yang lebih lebar, dan pelana yang dipertingkatkan untuk keselesaan tambahan.
Ciri-ciri lain termasuk cakera brek hadapan 320mmm yang lebih besar dengan angkup brek empat omboh yang dibangunkan oleh Brembo dan sistem ABS oleh Bosch. Suspensi bolehsuai WP masih lagi mengendalikan serapan hentakan pada motosikal ini namun yang didapati pada RC390 baru dan juga pada 390 DUKE dikatakan telah mempertingkatkan lagi tunggangan dan pengendalian motosikal-motosikal ini.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai 390 Duke yang dipertontonkan pada pertunjukan EICMA tahun lalu, TEKAN SINI.
Kami juga ada melaporkan pada lewat tahun lalu bahawa motosikal RC390 terbaru juga akan dilengkapi dengan grafik rekaan baru seperti mana yang dapat anda lihat pada gambar di atas. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai grafik KTM terbaru, TEKAN SINI.
Berminat untuk membelek motosikal-motosikal KTM yang berada di pasaran Malaysia? TEKAN SINI untuk ke Bike Buyers Guide, laman eksklusif dari Bikes Republic.