Art of Speed Malaysia 2017 Sedia Untuk Menggegarkan MAEPS, Serdang Dari 29-30 Julai 2017

 

  • Art of Speed Malaysia 2017 akan kembali untuk kali ke-enamnya pada tahun ini; lebih besar dan lebih hebat dari sebelumnya dengan lebih daripada 1,000 kenderaan tempahan khas akan berkumpul dari 29 hingga 30 Julai 2017 di MAEPS, Serdang.
  • Terdapat pelbagai motosikal dan kereta tempahan khas, pameran, pandu/tunggang uji, aktiviti, tokoh permotoran antarabangsa terkenal, persembahan dan banyak lagi untuk para pengunjung AOS tahun ini.
  • Paling menarik sekali, TIGA motosikal akan dihadiahkan sepanjang tempoh dua hari pameran yang terdiri daripada CMC XY400 serba baru, Harley-Davidson Street Rod 750 dan juga sebuah dragster RXZ dwi-enjin tempahan khas sepenuhnya yang dinamakan “RXZ Twinboss”.


Acara Art of Speed Malaysia 2017 semakin menghampiri tarikh keramatnya pada 29 dan 30 Julai 2017. Acara ‘Ol-Skool’ dan ‘Kustom Kulture’ tahunan kali ke-enam yang merupakan hasil ciptaan anak tempatan ini telah menjadi satu perhimpunan besar-besaran buat para penggemar permotoran dari berbagai latar belakang dan arena berbeza untuk bersama dalam salah satu acara dua hari paling mengujakan yang terdapat di negara kita ini.

Perhimpunan penggemar pengkhususan tempatan ini menampilkan beberapa tetamu antarabangsa terkemuka dan tokoh-tokoh terkenal yang akan mempamerkan motosikal dan kereta tempahan khusus mereka bersama-sama dengan pameran karya seni yang besar, aktiviti-aktiviti interaktif dan juga persembahan-persembahan lagak ngeri yang mengujakan.

Acara tahunan ke-enam Art of Speed Malaysia 2017 akan diadakan di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) yang terletak di Serdang bermula dari 29 hingga 30 Julai 2017. Pintunya akan mula dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 petang untuk kedua-dua hari berkenaan jadi datanglah dengan awal dan bersedialah untuk menikmati pengalaman yang amat mengujakan ini.

Menurut pengasas Art of Speed Malaysia, Encik ASep Ahmad Iskandar,”Edisi tahun ini tidak syak lagi merupakan yang terbaik buat setakat ini, dengan begitu banyak kepelbagaian dan kerumitan bukan sahaja pada kenderaannya, malah kami juga turut meluaskan lagi aktiviti sepanjang hujung minggu itu untuk disesuaikan dengan pelbagai peringkat umur.”

Bagi mereka yang mengikuti dunia pengkhususan sudah pasti mengenali beberapa nama tetamu antarabangsa yang akan membuat penampilan di pentas Art of Speed pad hujung bulan ini dengan nama-nama seperti Coles Foster dari Salina Boys Custom Cars & Bikes USA, Jeff Holt dari Hot Bike Magazine USA, David “Chopperdave” Freston dari Amerika Syarikat, Shige Suganuma dan Wildman dari MOONEYES Japan dan nama-nama besar lain dari seluruh dunia.

Seperti kebanyakan pertunjukan kereta yang dikenali antarabangsa, Art of Speed akan menghadiahkan beberapa bakat terbaik di pertunjukan itu melalui AOS Invitational Bike Build Off 2017 di mana 10 pembina dari Malaysia dan Singapura akan mempersembahkan hasil kerja pengkhususan terbaik mereka dengan harapan untuk memenangi hadiah wang tunai RM10,000 yang akan dipilih oleh para juri, dan wang tunai RM5,000 melalui pilihan orang awam namun yang yang penting sekali; kemashyuran sebagai pembina motosikal pengkhususan terbaik di rantau ini.

Para pengunjung juga akan turut menyaksikan satu kerjasama istimewa antara Art of Speed dan Boon Siew Honda. Empat ikon gayahidup permotoran telah dipilih untuk mempersembahkan bakat mereka dan juga motosikal Honda ikonik yang telah dikhususkan sepenuhnya semasa hujung minggu itu. Ikon-ikon ini terdiri daripada Legend Racing Garage, BWB, District Shop Gallery dan Ah Ho Motors.

Penggemar sukan ekstrim juga turut dijemput untuk ke acara AOS tahun ini di mana HOUSE OF VANS akan menganjurkan pertandingan papan luncur dan BMX dan juga sebuah bengkel kesenian. Pengumpul Hot Wheels juga turut dijemput untuk menyaksikan kehadiran pereka utama Hot Wheel, Jun Imai, dari Amerika Syarikat yang akan mempamerkan hasil-hasilnya semasa acara dua hari berkenaan.

Jika itu tidak cukup untuk mengujakan anda, AOS juga akan menyediakan hiburan yang berkualiti dalam bentuk persembahan dari kugiran-kugiran ternama seperti Oh Chentaku dan Hujan yang akan menghiburkan para pengunjung pada hari Sabtu dan juga Ahad.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, akan terdapat beberapa hadiah hebat yang akan diberikan tetapi untuk tahun ini ianya tidak dapat disangkalkan lagi yang terhebat buat setakat ini dengan bukan satu hadiah motosikal tetapi TIGA. Benar, tiga motosikal akan dihadiahkan dalam tempoh dua hari berkenaan. Pada hari Sabtu, sebuah motosikal klasik moden serba baru CMC XY400 akan menjadi hadiah utama dan pada hari Ahad, sebuah dragster dwi-enjin dikhususkan sepenuhnya bergelar “RXZ Twinboss” yang dibina oleh FNG Works dan juga Beautifil Machines akan dihadiahkan pada hari Ahad.

https://www.facebook.com/ArtOfSpeedMY/photos/a.166219950170971.33707.139965842796382/1252223141570641/?type=3

Pada malam semalam ketika pelancaran media AOS, Harley-Davidson Malaysia juga turut mengumumkan bahawa mereka juga akan menghadiahkan sebuah motosikal Harley-Davidson Street Rod 750 serba baru kepada seorang pengunjung bertuah pada acara AOS tahun ini. Pasti ia akan menarik minat lebih ramai pengunjung.

Kami boleh sahaja untuk terus bercerita mengenai acara Art of Speed tahun ini namun ianya akan mengambil banyak masa kerana untuk kali ini AOS memperuntukkan ruang pameran sebesar tiga ekar yang akan merumahkan lebih daripada 1,000 kenderaan tempahan khas bersama pelbagai pameran yang hebat serta aktiviti-aktiviti yang hebat.

Jadi, tandailah kalendar anda dan luangkanlah masa untuk menghadiri acara Art of Speed tahun ini pada 29 dan 30 Julai 2017 di MAEPS, Serdang, dan anda pasti tidak akan menyesalinya. Untuk maklumat lanjut kunjungi laman sesawang www.artofspeedmy.com atau Laman FB Rasmi Art of Speed.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]