- Danilo Petrucci (OCTO Pramac Racing) telah diberikan satu peluang untuk mengemudi jentera Desmosedici GP17 terbaru dan pada masa yang sama
membantu membangunkan enjin MotoGP Ducati yang baru. - Tiada butiran tepat yang diberikan tentang enjin baru ini namun Petrucci mengatakan bahawa enjin ini akan diberikan kembali kepada pasukan pengilang sesudah mereka menjalankan kesemua ujian.
- Petrucci juga mengatakan bahawa enjin ini mempunyai kuasa yang agak sama seperti enjin GP17 yang semasa tetapi dengan beberapa bahagian yang berlainan: berkemungkinan sekali pada pendikit, ekzosnya dan lain-lain.
Penunggang MotoGP bagi pasukan OCTO Pramac Racing, Danilo Petrucci sedang dalam usaha membangunkan sebuah enjin serba baru yang telah
digunakan pada jentera Ducati Desmosedici GP17. Pasukan OCTO Pramac Racing telah pun diberikan jentera Ducati MotoGP yang terkini dengan syarat mereka membantu dalam membangunkan dan ujikaji bahagian-bahagian baru sebelum menyerahkan kembali maklumat kepada pasukan pengilang.
Menurut Petrucci, enjin terbaru ini amat berbeza berbanding dengan enjin yang sedang digunakan oleh Jorge Lorenzo dan juga Andrea Dovizioso di atas jentera pengilang. Dalam satu laporan yang dibuat oleh Crash.net, dia mnyatakan “Saya masih lagi sedang mengkaji enjin ini dan kami masih bersedia memberikannya semula kepada pengilang.”
Pada perlumbaan hujung minggu lalu di Mugello, penunggang uji Ducati, Michele Pirro juga turut sama bertanding dalam perlumbaan itu sebagai peserta wild card. Dia juga telah dilengkapkan dengan enjin terbaru itu untuk membolehkan enjin itu diuji dan untuk simulasi perlumbaan. Petrucci telah memberi komen mengenainya dan menyatakan ” Motosikal tunggangan Michele Pirro mempunyai motosikal yang seakan sama dengan saya, saya tidak tahu bahagian manakah yang sama atau manakah yang baru. Sudah semestinya enjinnya adalah enjin yang baru, seperti kepunyaan saya. Dovizioso dan Lorenzo akan mencuba sesuatu yang berkaitan dengan casis dan elektronik.”
Walaupun perbezaan nyata antara enjin Petrucci dan enjin yang digunakan oleh penunggang pasukan pengilang masih lagi menjadi tanda tanya, Petrucci membayangkan bahawa janakuasa itu akan diserahkan kembali kepada pasukan pengilang setelah mereka menjalankan kesemua ujian. Berdasarkan fakta itu dan juga peraturan homologasi enjin MotoGP, rekaan asas enjin itu tidak boleh diusik sehingga ke penghujung musim kecuali pada beberapa komponen seperti pendikit dan ekzos yang dapat ditukar ganti tanpa melanggari sebarang peraturan.
Petrucci tidak berkongsi sebarang maklumat khusus berkenaan bahagian-bahagian itu namun dia telah mengatakan “Mengikut langkah Jorge, masa pusingan adalah sama namun garisan yang diambil amat berbeza jadi agak sukar untuk dikatakan sebetulnya. Dia memulas pendikitnya begitu awal dan lebih lancar berbanding dengan saya. Jika anda memulas pendikit hanya dua persepuluh lebih awal anda akan dapat merapati jurang sepanjang jalan lurus, jadi kemungkinan untuk sebab ini terdapat perbezaan kecil pada enjin ini. Saya telah dapat beberapa bahagian berbeza, tetapi saya rasa kuasa pada enjin ini tetap sama.”
Sumber imej: MotoGP