Kawasaki H2 Tempahan Khas Ala 80an?

 

  • Para pembina pakar dari Wrenchmonkees yang bertapak di Copenhagen telah membina sebuah Kawasaki H2 tempahan khas yang diilhamkan dari motosikal lumba ketahanan retro.
  • Motosikal dan projek ini telah ditempah oleh sebuah pengeluar kelengkapan menunggang Belanda, REV’IT!
  • Rangkaian penunggangan dalam bandar REV’IT! yang menawarkan gaya dan juga teknologi terkini telah diterap pada motosikal tempahan khas H2 ini yang dibina dengan citarasa dan pengayaan yang hebat.


Wrenchmonkees bersama dengan REV’IT! telah muncul dengan sebuah motosikal tempahan khas Kawasaki H2 yang mengambil inspirasi dari tahun 80an dan 90an dimana motosikal-motosikalnya begitu ikonik dan tanpa batas waktu. Sering kali kita melihat projek sebegini melibatkan motosikal-motosikal lama yang diberi nafas baru dengan rekabentuk moden namun sebaliknya yang berlaku di sini di mana motosikal cas lampau terpantas dunia ini dibawa kembali untuk mengimbau kenangan masa lalu.

Kebanyakan daripada kita sudah semestinya mengenali pengeluar kelengkapan ternama dari Belanda, REV’IT! ini dan rangkaian kelengkapan penunggangan dalam bandar mereka, ‘Tailored Technology’. Mereka cukup terkenal dengan kelengkapan yang begitu bergaya dan dilengkapi dengn teknologi terkini yang boleh didapati dalam industri pembuatan pakaian menunggang. Konsep yang sama telah disampaikan dan diamanahkan kepada para pembikin di Wrenchmonkees untuk membina motosikal itu.

REV’IT! dan Kawasaki telah pun mempunyai sejarah bersama yang hebat terutamanya dengan penajaan penunggang WorldSSP dan juara Kenan Sofuoglu. Pada tahun lalu, Sofuoglu telah berjaya menggunakan jentera asas Kawasaki H2-nya dan mencipta rekod bagi motosikal pengeluaran terpantas dengan kelajuan 400km/j.

TEKAN SINI untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai cubaan memecahkan rekod Kenan Sofuoglu di atas jentera H2 itu.

Bertapak di Copenhagen, pembina pakar di bengkel Wrenchmonkees, Per Nielsen dan Nicholas Bech memperagakan kemahiran mereka pada superbike tercanggih ini. Mereka berhadapan dengan tugas bersejarah mengkhususkan keseluruhan motosikal H2 ini tanpa mencacatkan prestasinya. Ianya bukanlah satu tugas yang mudah.

Perubahan paling ketara semestinya pada reraup hadapan H2 yang ikonik yang kini dipenuhi dengan bantuan aerodinamik dan sesayap untuk lebih downforce. Mereka telah mengambil reraup dari ZX-7R dan menukang tangan sebuah saluran udara aluminium pada bahagian kiri untuk menghalakan udara segar ke pengecas lampau dan sebuah petak perumah di bahagian kanan yang diletakkan takungan penyejuk dan segala pendawaian motosikal berkenaan.

Litupan tangki dan ekor ‘monocoque‘ juga ditukang tangan semula menggunakan gentian kaca dan dilengkapkan dengan pelapik pelana neoprene untuk keselesaan tambahan buat penunggang. Satu kerangka kecil baru dibikin oleh pembina pakar untuk mengimbangi penyerap baru bagi memberikannya jiwa dan rupabentuk klasik tanpa mengorbankan prestas penunggangan H2 ini.

Didorong oleh keghairahan mereka pada motosikal perlumbaan ketahanan gaya lama, H2 telah dilengkapkan dengan beberapa bahagian prestasi yang menjadikannya lebih menggiurkan dengan peredam SC-Project beserta dengan penapis angin Sprintfilter untuk pengudaraan enjin yang lebih baik.

Fork hadapannya dilengkapkan dengan komponen dalaman Hyperpro, memberikan H2 ini kedudukan yang lebih rendah sebanyak 15mm dan kebolehan boleh laras sepenuhnya. Lenganbuainya diperbuat dengan pipa aluminium yang diambil dari GIA Engineering dan dilekapkan kepada penyerap hentakan Hyperpro yang boleh laras sepenuhnya.

Rodanya pula dilengkapkan dengan teknologi moden dari Dymag dan roda magnesium mereka ini dilitupi dengan tayar perlumbaan Dunlop GP Sportmax. Pakej brek keseluruhannya adalah dari Beringer yang termasuk cakera brek hadapan, angkup, brek dan kawalan klac dan alur keluli terjalin. Satu set rantai perlumbaan RK juga dilengkapkan dengan H2 khusus ini untuk memastikan pengalihan kuasa yang lebih baik ke roda belakang.

Sesudah selesainya segala pertukangan khas itu, tibalah masanya untuk kerja-kerja mengecatnya. Rupa motosikal lumba ketahanan retro yang diterap pada H2 ini memberi aura bagaikan seekor kucing hutan; kelihatan bagaikan jinak namun mencakar jika dirapati.

Walaupun ianya tidak lagi kelihatan seperti sebuah H2 yang dikenali, disayangi dan dimimpi-mimpi, motosikal tempahan khas dari Wrenchmonkees dan REV’IT! ini tampak seperti begitu garang sekali, sesuai dijadikan poster penghias kamar tidur. Kalaulah kita dapat melihatnya beraksi depan mata sendiri…

Sumber: Bike EXIF

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.