MotoGP: ‘DesmoDovi’ Menjadi Penunggang Itali Pertama Memenangi GP Itali Di Atas Jentera Ducati

  • Pusingan MotoGP di Mugello semalam menyaksikan Andrea Dovizioso (Ducati Team) menjadi penunggang Itali yang pertama memenangi GP Itali di atas motosikal buatan Itali.
  • Kemenangan ini melonjakkan ‘DesmoDovi’ ke kedudukan kedua dalam kutipan mata dengan 79 mata dibelakang peneraju kejohanan yang juga di tempat kedua perlumbaan, Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP).
  • Danilo Petrucci (OCTO Pramac Racing) memburu kelompok pendahulu perlumbaan dan merampas tempat ketiga dari wira tuan rumah, Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP).


Penunggang Ducati, Andrea Dovizioso bersama dengan jenteranya, Ducati Desmosedici GP17 telah mencipta sejarah semalam di Mugello. Kemenangan menakjubkan mereka ini menandakan yang ianya kali pertama penunggang Itali di atas jentera buatan Itali memenangi GP Itali. Walaupun menghadapi keadaan yang kurang sihat sepanjang hujung minggu itu, ‘DesmoDovi’ muncul dengan jayanya sekali di hadapan penyokong tempatan.

Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP) juga menamatkan perlumbaannya dengan baik sekali di tempat kedua dengan jarak masa hanya 1.281 saat dibelakang penunggang Ducati itu. Penunggang yang menyarung nombor 25 itu memberi komen bahawa tempat kedua itu memberinya 20 mata tambahan yang bermakna bagi kutipan mata keseluruhan kejohanan yang kini sebanyak 105 mata.

Seorang lagi penunggang Itali membuat kejutan dengan mengisi podium adalah Danilo Petrucci dari OCTO Pramac Racing. Ianya perlumbaan yang sengit dengan saingan daripada penunggang berprofil tinggi yang lain memandangkan Petrucci bermula dari P9 di atas grid perlumbaan.

Wira tuan rumah Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) berlumba dengan hebat sekali semalam, menamatkan perlumbaannya dengan jarak masa hanya 1.3 saat dari kedudukan terakhir podium. Rossi telah memberikan sebaik mungkin pada bahagian pertama perlumbaan dimana dia telah mendahului pada permulaan dengan saingan hebat antara dia, Jorge Lorenzo (Ducat Team) dan Maverick Viñales.

Alvaro Baustista (Pull&Bear Aspar Ducati Team) juga mendapat mata yang berharga di P5 di atas jentera Ducati Desmosedici-nya. Keputusan ini amat bermakna kerana dia dapat menepis serangan daripada juar dunia MotoGP 2016, Marc Marquez (Repsol Honda) dan jentera Honda RC213V tunggangannya. Marquez menamatkan perlumbaan di tempat keenam dengan hanya 0.08 saat memisahkannya dengan Baustista.

Pelumba rookie MotoGP dari Perancis, Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) melintasi garisan penamat di tempat ketujuh dengan jarak masa hampir 8 saat di belakang Marquez tetapi berjaya menamatkan perlumbaan di hadapan Jorge Lorenzo dan penunggang uji Ducati, Michele Pirro yang yang menamatkan perlumbaan di P8 dan P9. Andrea Iannone (Team Suzuki ECSTAR) melengkapkan sepuluh teratas di perlumbaan di Mugello.

Dengan berakhirnya GP Itali, penunggang-penunggang MotoGP ini akan menuju ke Catalunya bagi GP Sepanyol untuk Gran Premi Monster Energy de Catalunya. Perlumbaan berikutnya akan bermula pada hujung minggu 9 Jun, Jumaat hingga ke 11 Jun 2017 bagi perlumbaan di hadapan penonton Sepanyol.

Sumber imej: MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]