MotoGP: Viñales merangkul kemenangan ke-500 buat Yamaha di Perancis; Marquez dan Rossi DNF

  • Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP) menunggang dengan hebat sekali semalam semasa HJC Helmets Grand Prix de France di Le Mans yang menjadikan 3 kemenangan dari 5 perlumbaan dalam musim ini.
  • Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) dan Marc Marquez (Repsol Honda) telah terbabas ketika perlumbaan semalam, memberi kesan kepada kedudukan tangga kejohanan mereka.
  • Viñales kini mendahului kejohanan MotoGP 2017 dengan 85 mata, diikuti oleh Dani Pedrosa dengan 68 mata dan Rossi di tempat ketiga dengan 62 mata.

Setelah melalui hujung minggu yang sukar bagi kebanyakan penunggang berprofil tinggi dari pasukan pengilang teratas sepanjang hujung minggu ini, Maverick Viñales dari Movistar Yamaha MotoGP muncul juara dengan satu lagi kemenangan di HJC Helmets Grand Prix de France di Litar Le Mans. Kemenangan ketiganya untuk musim ini meletakkannya di hadapan dalam kejuaraan dunia dengan 85 mata.

Namun begitu, pencuri tumpuan sebenar adalah ayam tambatan peminat tuan rumah, Johann Zarco dari Monster Yamaha Tech 3. Penunggang berumur 27 tahun dari Cannes, Perancis ini bersaing dengan hebat sekali sepanjang perlumbaan termasuk mendahului peringkat awal perlumbaan ini.

Apa yang kelihatan seperti kemunculan sulung Zarco di podium pada tempat ketiga bertukar menjadi P2 apabila Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) terbabas ketika bertarung untuk tempat pertama bersama teman sepasukannya pada pusingan yang terakhir perlumbaan. Akibat daripada kemalangan itu, Rossi kini jatuh ke anak tangga ketiga keseluruhan dalam kejuaraan dunia dengan 62 mata; 23 mata di belakang Maverick Viñales.

Dani Pedrosa juga meraih tuah akibat kemalangan Rossi apabila dia mendapat tempat ketiga di atas podium untuk perlumbaan GP Perancis ini. Dia yang berusaha keras dari permulaan perlumbaan menangkis serangan penunggang-penunggang lain di kelompok tengah tetapi telah maju ke hadapan akibat ramai penunggang yang terbabas atau bersara dari perlumbaan di Le Mans ini. Pedrosa kini di tangga kedua kejohanan dengan 68 mata.

Andrea Dovizioso (Ducati Team) dan Cal Crutchlow (LCR Honda) memberikan persembahan yang terbaik buat penonton dengan beberapa helah memotong sepanjang perlumbaan namun Dovizioso muncul pemenang dalam persaingan itu dengan menamatkan perlumbaan dua saat di hadapan penunggang British itu. Teman sepasukan Dovizioso, Jorge Lorenzo juga telah mendapat keputusan yang baik di tempat keenam memandang dia pernah di kedudukan terakhir dalam salah satu sesi latihan kerana faktor cuaca buruk dan keadaan litar.

Seorang lagi penunggang rookie MotoGP dari Monster Yamaha Tech 3, Jonas Folger, juga telah memperbaiki prestasinya dengan kedudukan P7 dengan Jack Miller (EG 0,0 VDS) mengekori rapat di P8. Tempat kelapan buat Miller adalah keputusan yang memberangsangkan buat Miller memandangkan dia telah terlibat dalam satu kemalangan pada hari Sabtu yang mengakibatkan kecederaan padanya. Andrea Iannone (Pasukan Suzuki ECSTAR) melengkapkan 10 teratas di GP Perancis ini dengan catatan masa melebihi 48 saat dibelakang pemenang perlumbaan, Maverick Viñales.

Bahang kejohanan semakin terasa dalam MotoGP dan pusingan berikutnya akan lebih memarakkannya lagi. Litar Mugello semakin hampir tiba dan para penunggang MotoGP akan bertarung sekali lagi pada 2 Jun 2017 di gelanggang milik Rossi untuk Gran Premio d’Italia Oakley. Agak-agaknya bagaimana rupa helmet istimewa Rossi nanti? Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk berita segenap dunia permotoran.

Sumber gambar : MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]