Motosikal Lumba Suzuki GSX1100SD Katana Dari Team Classic Suzuki

  • Motosikal Suzuki GSX1100SD Katana ini akan bertanding dalam perlumbaan Endurance Legends di Donington Park untuk tahun ini.
  • Dibina oleh pasukan yang dibantu pengeluar, Team Classic Suzuki.
  • Motosikal lumba Katana ini akan dikemudi oleh James Whitman, Steve Parrish, dan Micheal Neeves dalam perlumbaan empat jam ini.

Team Classic Suzuki telah membina sebuah motosikal yang bakal menjadi kegemaran para peminat motosikal. Mempersembahkan jentera perlumbaan Suzuki GSX1100SD yang akan bertanding dalam acara Endurance Legends tahun ini. Pasukan perlumbaan bersama dengan jentera perlumbaan klasik mereka akan mencabar antara satu sama lain di satu-satunya perlumbaan ketahanan motosikal klasik dalam UK di Donington Park pada 6 Mei 2017.

TEKAN SINI untuk pergi ke laman sesawang rasmi Endurance Legends.


Seperti mana kebanyakan kanak-kanak yang membesar pada tahun 90-an percaya yang ia merupakan masa yang terbaik melangkah ke era teknologikal, mereka yang melalui zaman 80-an juga akan bersetuju bahawa ianya masa kegemilangan bagi industri motosikal. Orang awam mampu mendapatkan motosikal berprestasi tinggi, menonton perlumbaan World Superbikes dan MotoGP dengan pelumba-pelumba terhebat sepanjang zaman.

Acara Endurance Legends ini telah membuatkan Team Classic Suzuki menghasilkan karya terbaik mereka melalui motosikal lumba Katana mereka. Pasukan dibantu pengeluar ini telah melakukan segalanya yang termampu bagi menjadikan Katana ini sebagai sebuah pahlawan litar.

Rupa luarannya sahaja cukup mempersonakan dengan rupanya yang cukup indah dan ikonik digandingkan dengan warna perlumbaan klasik Suzuki. Kombinasi beberapa tona biru, putih dan bahagian hitam melitupi enjin 1170cc tampak amat pantas apabila pegun.

Dilengkapi dengan fork hadapan K-Tech dan dwi-suspensi di belakang, Katana ini mungkin mampu menyusuri selekoh dengan cukup mudah sekali. Jika dikemudi oleh seorang penunggang pakar, kami sudah pasti akan terkesima hanya menyaksikan dia merapatkan lutut (mahupun siku) ke tanah di pertengahan selekoh.

Rodanya diperoleh dari Dymag yang telah dikilangkan khusus untuk perlumbaan. Ianya dikilangkan di UK dan diperbuat daripada MAGNESIUM dan dilitupi dengan tayar perlumbaan Continental. Semakn dilihat, semakin elok rupa Katana ini.

Enjinnya telah dibikin secara mendalam oleh pasukan ini. Enjin 1100gsx yang piawai telah digerek semula ke 1,170cc, Bukan sahaja ia mempunyai kapasiti lebih tinggi, enjin ini juga menerima peningkatan prestasi besar seperti sesondol angkatan tinggi, injap keluli tahan karat, dan berbagai lagi bahagian enjin yang diperoleh dari pengilang Suzuki sendiri.

Karburator perlumbaan CR telah digunakan bagi mendapatkan kecekapan prestasi tinggi maksimum seperti apa yang anda dapat lihat di atas. Bahagian belakangnya pula telah dipasang dengan lengan buai buatan khas bagi menambahkan kestabilan dan fungsi keseluruhan apabila penunggang ingin menjamu asap ekzos semasa percubaan memotong.

Bagi perlumbaan Endurance Legends, jentera nombor 7 ini akan dikemudi oleh tiga orang pelumba ‘vintaj’ terkenal; James Whitman, Steve Parrish, dan Michael Neeves. Jangan terperdaya bila kami menggunakan gelaran ‘vintaj’ untuk motosikal mahu pun penunggangnya. Kami sesungguhnya begitu pasti yang mereka ini akan mampu meninggalkan yang lain jauh di belakang.

Untuk menyaksikan motosikal Katana ini beraksi, perlumbaan ketahanan empat jam ini akan berlangsung pada 6 Mei 2017 di Donington Park yang juga dikenali sebagai tuan rumah kepada sukan permotoran British.

TEKAN SINI untuk melihat kesemua motosikal besar Suzuki yang boleh didapati di Malaysia dalam laman eksklusif Bikesrepublic.com Bike Buyer’s Guide.

Sumber foto: Suzuki Racing

33 Comments

Leave a Reply