ARRC 2017, Thailand: KECEDERAAN BUKAN PENGHALANG ZAQHWAN BURU PODIUM DI BURIRAM

Zaqhwan di litar Johor

Meskipun masih belum pulih dari kecederaan retak tiga jari kaki kanan, semangat Mohd Zaqhwan Zaidi tetap membara untuk turun mempertahankan kejuaraan dalam kategori SuperSports 600cc pada pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand bermula 13 hingga 15 April ini.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu mengalami kecederaan dan gagal meneruskan Perlumbaan 2 SuperSports 600cc setelah terjatuh pada peringkat awal perlumbaan meskipun tampil cemerlang menjuarai Perlumbaan 1 sebelum itu sewaktu pusingan pertama ARRC di Litar Johor, awal bulan ini.  

Zaqhwan (kanan) bersama pasukannya

“Kesakitan ini tidak apa-apa jika dibandingkan dengan semangat saya untuk menang. Kecederaan tidak menghalang pelumba untuk memenangi perlumbaan. Saya tidak bol eh kehilangan mata lagi setelah gagal mengutip sebarang mata pada Perlumbaan 2 sewaktu di Johor,” jelas Zaqhwan yang kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 25 mata.

Kedudukan teratas milik Taiga Hada (45 mata) diikuti Azlan Shah Kamaruzaman (33 mata).

“Saya perlu merapatkan jurang perbezaan mata ini di Buriram,” jelas Zaqhwan.

Jadual Zaqhwan agak padat sepanjang April apabila dijadualkan terbang ke Jepun sebaik Pusingan 2 ARRC di Buriram berakhir untuk mengambil bahagian dalam Perlumbaan Suzuka 2 & 4 di Jepun, pada 22 dan 23 April.

“Perlumbaan Suzuka 2 & 4 merupakan sebahagian daripada latihan untuk menyertai perlumbaan Suzuka 8-hour Endurance, Julai nanti. Saya perlu menggunakan masa itu nanti untuk lebih membiasakan diri dengan litar Suzuka.”

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply