- Motosikal Hesketh Valiant SC ini dilengkapi dengan enjin V-Kembar ‘S&S X-Wegde dry sump‘ 2,100cc yang digandingkan bersama pengecas lampau Rotrex.
- Valiant SC ini direncana untuk menghasilkan sehingga 250hp dan melebihi 300Nm tork pada saat ianya sedia untuk dijual pada 2018.
- Harga permulaan bagi setiap Valiant SC ialah £50,000 (sekitar RM276,500)!
Hesketh telah memperkenalkan penambahan terkini pada rangkaian untuk jualan kepada orang ramai Hesketh Valiant SC 2018. Pengeluar yang bertapak di Britain dari Northamptonshire, England ini membina Valiant baru yang dicas lampau ini dibawah pemilik yang baru. Apa yang istimewanya tentang motosikal dari Hesketh ini?
Pencuri tumpuan terbesar tentang jentera rakus yang anggun ini sudah pastinya enjin V-Kembar ‘S&S X-Wedge dry sump‘ 2,100cc serta gandingannya, pengecas lampau Rotrex yang terletak di antara silindernya. Tanpa penggunaan pengecas lampau, enjin ini mampu menjana hampir sebanyak 145hp namun disebabkan Hesketh bukan sebarangan pengeluar, pengecas lampau Rotrex telah digunakan dan ia menginjak keluaran maksimum sehingga 210hp apabila mencecah 5,500rpm dan tork sehingga 296Nm pada 3,000rpm.
Sebagai perbandingan, Ducati 1299 Panigale mewar-warkan yang ia hanya boleh menjana 205hp dan 128Nm tork.
Sementara enjin ini masih lagi dalam tahap pembangunan, Hesketh telah merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran kuasanya ke jumlah keseluruhan sehingga 250hp apabila motosikal itu sedia untuk dipasarkan pada 2018. Jumlah 250hp ini hampir sama tahapnya dengan jentera MotoGP!
Model terkini dari Hesketh bukannya motosikal binaan serba baru sepenuhnya. Dengan bajet yang kecil serta sumber terhad untuk kajian lanjutan dan pembangunan, tidak hairanlah Valiant SC akan berkongsi alatan yang sama dengan motosikal Hesketh yang lampau seperti 24 dan juga Sonnet.
Enjin yang amat berkuasa memerlukan kerangka yang teguh dan juga pada masa yang sama, fleksibel untuk mengawal kuasa itu. Rekabentuk keluli buaian berganda ‘Chromoly‘ yang disambung kepada lengan buai pangsa kotak tersembul yang menjadi rekabentuk pengenalan Hesketh telah dipilih untuk Valiant.
Selain dari semua bahagian karbon fiber untuk keutuhan dan juga pengurangan berat, mengemudi sejumlah kuasa sebegitu boleh membawa bencana jika transmisi biasa digunakan. Oleh kerana itu mereka memilih untuk menggunakan transmisi enam kelajuan Baker serta klac hidraulik dari King Kong bersama dengan pacuan utama mereka sendiri untuk memastikan tiada kuasa dibazirkan sewaktu pengalihan melalui pacuan rantai terakhir.
Penggunaan suspensi K-Tech yang serba boleh memastikan tunggangan yang lancar serta terkawal (semua barang mahal, bro). Perkara sama dapat dikatakan mengenai brek dimana bilet 12-omboh Hesketh dilengkapkan pada bahagian hadapan dan angkup 4-omboh Beringer pada bahagian belakangnya. Sememangnya pakej pembrekan yang cukup padu.
Dengan kesemua kelengkapan yang cukup canggih, jangan terkejut bila anda mendengar harganya. Harga permulaan untuk setiap Valiant SC adalah pada harga £50,000 (sekitar RM276,500 selepas pertukaran matawang). Persoalannya, siapakah yang mempunyai lebih dari suku juta Ringgit untuk dibelanjakan? Ingin kami berjumpa mereka dan berjabat tangan tanda hormat, dan ada perasaan dengki sedikit pada mereka ini.
Sumber gambar: Hesketh Motorcycles