Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Tayar Motosikal – Bahagian 1

 

  • Selalunya motosikal lumba akan menggunakan tayar tanpa tiub sementara mereka yang menunggang secara kembara kadang-kadang akan menggunakan tayar bertiub yang lebih mudah untuk dibaiki.
  • Tekanan terlampau tinggi akan menyebabkan bahagian tengah tayar haus dengan lebih cepat dan mempengaruhi pengendalian keseluruhan.
  • Saiz tayar dipilih secara khas bersesuaian dengan bagaimana enjin dan kerangka dibina.
  • Cara yang termudah dan paling banyak digunakan untuk mengetahui saiz tayar adalah melalui sistem metrik dimana tiga nomber berbeza dipaparkan pada dinding tayar contohnya 120/70-11 atau 200/55-17.

 

 

 

 

 

 

 

 

 
Kita semua sedia maklum terdapat begitu banyak pengeluar tayar menghasilkan sejumlah besar tayar motosikal untuk kegunaan pengguna dan ianya agak mustahil untuk mengetahui tentang kesemuanya. Bagi sesetengah orang, memilih walau satu set merupakan tugas yang amat mencabar. Jenama apakah yang terbaik? Jenis tayar apakah yang patut digunakan? Apakah maksud segala nombor-nombor yang tertera di dinding tayar ini? Kami di MotoMalaya ingin membantu anda semua!

Memandangkan terdapat begitu banyak maklumat yang boleh dikongsi mengenai tayar motosikal, kami akan memecahkan ia kepada beberapa bahagian yang akan kami liputi dalam minggu-minggu yang akan datang. Pertama sekali, kami akan fokus kepada maklumat yang tertera pada dinding tayar. Mari pelajarinya bersama kami!

Segala yang anda perlu tahu tentang sebarang tayar tertentu telah pun tertera pada dinding tayar berkenaan. Selai daripada menyumbangkan maklumat yang berguna tentang tayar tersebut, dinding tayar juga membekalkan kekukuhan utama tayar itu sendiri, kita akan mendalaminya dengan lebih lanjut pada masa akan datang.

Jenis Bertiub atau Tanpa Tiub

Kebanyakan tayar pada hari ini adalah dari jenis tanpa tiub namun masih ada yang memerlukan penggunaan tiub dalaman untuk berfungsi dengan betul. Ianya mudah dikenalpasti kerana kebiasaannya ia akan di tanda sama ada Tanpa Tiub (TL) atau Bertiub (TT).

Terdapat kelebihan dan kekurangan bagi kedua-dua jenis ini tetapi lazimnya motosikal lumba akan menggunakan jenis tanpa tiub dan bagi mereka yang
gemarkan penunggangan kembara kadang-kadang akan menggunakan jenis yang bertiub kerana ianya lebih mudah untuk diperbaiki jika berlaku sebarang
kebocoran atau koyakan ketika berada di tempat yang jauh terpencil.

Tekanan Tayar

Adalah teramat penting untuk memastikan tayar anda mempunyai tekanan yang mencukupi. Terlalu banyak akan menyebabkan bahagian tengah tayar untuk haus dengan lebih cepat dan semestinya mempengaruhi pengendalian keseluruhan. Terlalu sedikit pula akan mengganggu perjalanan dan menyebabkan ‘tyre cupping’. Semua yang sudah pastinya tidak bagus untuk tayar, motosikal mahu pun penunggang.

 

 

 

 

 

 

 

Pada dinding tayar, tertera penunjuk tekanan tayar yang tertulis sama ada dalam Psi atau kPa. JANGAN ikuti jumlah yang tertera ini kerana ianya adalah
jumlah TEKANAN TAYAR MAKSIMUM yang boleh ditampungnya, dan bukanlah jumlah tekanan tayar yang disyorkan. Untuk mengetahuinya, rujuklah pada buku panduan motosikal berkenaan atau pun pada pelekat yang mungkin ada pada mana-mana bahagian rangka motosikal berkenaan bagi jumlah tekanan tayar yang betul dan yang dinasihatkan.

Saiz Tayar

Terdapat berbagai saiz tayar yang boleh didapati untuk kesemua jenis motosikal yang berada di pasaran sekarang. Apabila tiba masanya untuk
menggantikannya, amat mudah untuk terasa hanyut tanpa maklumat yang betul. Cara termudah untuk melakukannya adalah dengan mematuhi saiz tayar yang disyorkan oleh pengeluar. Ini adalah kerana saiz tayar telah dipilih secara khusus berkesesuaian dengan bagaimana enjin dan kerangkanya dibina.
Bersandarkan dengan fakta ini sahaja, kami percaya bahawa pengeluar lebih maklum tentang saiz tayar yang sesuai dengan motosikal mereka.

Cara termudah dan paling kerap digunakan untuk mengetahui saiz tayar adalah melalui sistem metrik dimana tiga nombor berbeza dipaparkan pada dinding tayar seperti 120/70-11 atau 200/55-17. Terdapat juga cara paparan yang lain seperti sistem penandaan abjad-angka dan inci tetapi anda akan memerlukan carta pertukaran bagi memudahkan anda untuk memahaminya.

Mari kita gunakan saiz tayar 120/70-11 sebagai contoh. Ketiga-tiga nombor ini mewakili kelebaran tayar, nisbah bidang (ketinggian dinding tayar) dan diameter rim. 120 bermaksud yang tayar ini adalah 120mm lebar, 70 bermakna ketinggian tayar ini ialah 70% daripada kelebaran tayar (sekitar 84mm) dan nombor terakhir mewakili saiz tayar ataupun rim. Dalam kes ini, ianya adalah rim 11 inci.

Jika anda ternampak huruf R atau pun B di antara nisbah bidang dan diameter rim, ianya untuk menandakan jenis tayar, sama ada ianya adalah ‘Radial‘ atau
Bias‘. Kami akan mengupas dengan lebih lanjut tentangnya pada bahagian yang akan datang khususnya tentang bagaimana tayar dibuat.

Satu lagi maklumat khusus yang perlu anda beri perhatian adalah kepada indeks muatan dan juga kadar kelajuan. Indeks muatan menunjukkan muatan maksimum yang boleh ditampung oleh tayar berkenaan manakala kadar kelajuan pula menandakan kelajuan maksimum yang dapat ditangani motosikal tersebut. Melebihi kedua-dua had ini akan menyebabkan kerosakan tayar, suatu keadaan yang tidak diinginkan sesiapa pun untuk sebarang sebab.

 

 

 

Sejurus ternampak maklumat saiz tayar, anda barangkali akan terlihat satu abjad-angka seperti 54L atau 62P. Untuk mengetahui maksudnya, anda memerlukan carta pertukaran. Nombor 54 bermakna yang tayar itu dapat menahan muatan maksimum atau berat sehingga 212kg.

L pula bererti yang kelajuan maksimum yang dapat ia tangani (dalam kes ini, L ialah 120km/j) jadi anda tahu untuk tidak melebihi kelajuan itu kerana jika ia berlaku, tayar itu akan kehilangan cengkamannya atau lebih bahaya, kerosakan tayar.

Tarikh Pengilangan

Ia diwakili oleh satu siri yang mengandungi empat nombor. Dua nombor pertama mewakili minggu tayar itu dibuat dan dua angka terakhir akan mewakili tahunnya. Jadi, jika anda terlihat nombor ‘1411’, anda sudah mengetahui yang tayar ini dibuat pada minggu ke-14 pada tahun 2011 (sekitar bulan Mei jika dikira bilangan minggu).

Ini adalah sangat penting terutamanya bila anda ingin mendapatkan tayar baru. Kebanyakan tayar mempunyai jangka hayat selama lima tahun jika disimpan dengan betul. Tayar yang lebih tua akan menjadi keras apabila minyak mula tersejat sepanjang tahun dan akan menyebabkan kerosakan tayar. Jadi sentiasalah periksa tarikh pengilangan untuk setiap tayar sebelum memasangnya pada motosikal kesayangan anda.

Sekian sahaja untuk bahagian 1 berkenaan tayar motosikal. Kekal setia bersama MotoMalaya untuk segala perkembangan terkini dunia motosikal.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]