Pandu Uji – 2016 Naza N5R

Baru-baru ini, pihak kami telah mendapat peluang untuk mencuba prestasi motorsikal keluaran terbaru dari Naza iaitu Naza N5R. Naza N5R merupakan motorsikal kategori 250cc yang berasas dari Naza N5 keluaran 2014. Ia baru sahaja dilancarkan pada September lepas.

Naza N5R berada dalam segmen 250cc kategori mampu milik. Terdapat banyak perubahan yang telah dilakukan kepada Naza N5R dari semua aspek. Enjin yang digunakan adalah 249cc DOHC satu silinder yang mampu menjana kuasa maksimum 28hp @ 9,500RPM dan tork maksimum 24.2Nm @ 7,000RPM.  

Model yang kami dapat bagi sesi pandu uji kali ini merupakan Naza N5R SE (Special Edition). Dari segi rupa, warna merah dan kelabu amat menarik perhatian ramai. Kombinasi warna dan litupan reraub penuh (full fairing) bersama lampu berkembar LED sangat cantik.

Asal-usul motorsikal ini sebenarnya dari Hyosung GD250R keluaran Korea. Bagi pasaran Malaysia, ia dipasarkan sebagai Naza N5R model CKD. Meter digital yang telah digunakan pada N5R sangat senang untuk dibaca dan amat sesuai bagi mereka yang mahu menjinakkan diri dalam kategori motorsikal sukan 250cc.

Penambahbaikan kepada rangka membuatkan N5R lebih ringan pada 143kg (berat kering). Posisi menunggang memberi karakter ‘sukan sebenar’ (true sport). Bagi mereka yang masih baru, posisi menunggang ini mungkin sedikit sukar tetapi ia boleh diubahsuai mengikut citarasa penunggang.

Pada kedudukan asal, ketinggian tempat duduk agak tinggi pada 810mm tetapi boleh diubah sebanyak 20mm. untuk memberi lebih pilihan kepada penunggang, bar pemegang yang agak rendah boleh diubah sebanyak 30mm dan penahan kaki (footpeg) boleh dilaras sebanyak 30mm juga.

Pada pendapat kami, menunggang Naza N5R memerlukan tenaga yang banyak dari bahagian atas badan terutama pada lengan. Untuk kegunaan harian, anda memerlukan masa dan pengubahsuaian yang sesuai agar betul-betul selesa ketika menunggang.

Seperti yang telah dinyatakan diatas, enjin yang digunakan adalah 249cc DOHC satu silinder dengan penyejukan bendalir dan sistem suntikan elektrik bahan api (EFI). Semua tenaga enjin disalurkan ke tayar belakang melalui kotak gear enam kelajuan.

Sistem ekzos ‘full system’ dari Proformance telah dipasangkan kepada model N5R SE ini. Bagi kebanyakan motor yang didalam kategori yang sama seperti KTM RC250 dan Kawasaki Ninja 250 SL, cara pembawakan motor ini lebih sesuai pada RPM yang tinggi.

Karakter sebenar N5R SE terserlah pada RPM yang tinggi dan sistem ekzos juga menolong untuk mendapat kelajuan yang lebih. Akan tetapi, bunyi ekzos agak kuat dan terdapat letupan (backfire) yang mengejutkan sewaktu ingin perlahan. Boleh dikatakan, ramai yang terkejut termasuk penunggang yang sedang pandu uji.

Penukaran gear agak lembut tetapi sedikit sukar untuk masuk semula ke dalam neutral. Masalah ini terserlah sewaktu tiba di lampu isyarat. Sedikit masa diperlukan untuk membiasakan diri anda dengan kotak gear ini.Perkara yang paling pelik pihak kami hadapi adalah, N5R SE ini sering terpadam sewaktu perlahan dalam kedudukan gear ke-2 walaupun dengan teknik blip pendikit (throttle blip) sewaktu penukaran gear.

Tidak dinafikan bahawa motor ini sangat seronok untuk dibawa tetapi terdapat beberapa lagi isu yang boleh lagi diubahsuai untuk mendapat prestasi yang terbaik. Pada kelajuan 120km/h ke atas, terdapat gegaran yang agak kuat dan kurang selesa.

Tayar jenama MRF yang digunakan tidak sesuai dan sering memberi ‘feel’ atau maklum balas yang berbeza setiap kali menunggang. Karakter atau profil tayar ini tidak memberi keyakinan ketika menunggang, lebih-lebih lagi dalam keadaan hujan atau basah. Jika diberi peluang, tayar adalah benda pertama yang akan ditukar bagi prestasi yang lebih bagus dan selesa.

Dari segi aspek pengendalian, penggunaan fork depan terbalik masih dikekalkan dengan lengan ayun berkembar pada bahagian belakang. Brek hadapan bersaiz 300mm dengan kaliper 4-piston, manakala brek belakang 230mm dengan kaliper 2-piston. Bagi pihak kami, kombinasi ini sesuai bagi kegunaan seharian.

Secara keseluruhan, harga yang telah ditetapkan pada RM13,888 (harga asas tanpa GST) adalah agak berpatutan dengan pakej yang telah disediakan. Bagi kami, Naza N5R mempunyai potensi yang tinggi untuk memberi cabaran kepada motorsikal kategori 250cc yang lain dengan hanya sedikit pengubahsuaian.

Model N5R ‘Special Edition’ pula ditawarkan pada RM15,388 (harga asas tanpa GST) tetapi anda akan mendapat motorsikal berkarakter ‘true sport’. Kedua-dua N5R dan N5R SE datang dengan waranti selama 2 tahun atau 25,000km.

Galeri 2016 Naza N5R SE

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

42 Replies to “Pandu Uji – 2016 Naza N5R”

Leave a Reply