Naza Taja Acara “Wheel, Walk & Fun Run”

  • Acara “Wheel, Walk & Fun Run” telah dianjurkan oleh Majlis Paralimpik Malaysia pada hari Ahad (13 Januari 2019) di Kampung Pandan.
  • Acara larian amal ini telah ditaja oleh Naza Corporation Holdings sebagai sebahagian daripada aktiviti sosial korporat mereka bagi tahun 2019.
  • Naza juga turut menaja sebuah model Vespa S125 serba baharu sebagai hadiah utama cabutan bertuah.

Bersempena dengan sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Sedunia, Majlis Paralimpik Malaysia telah menganjurkan sebuah acara larian amal “Wheel, Walk & Fun Run” yang amat istimewa, yang juga turut ditaja oleh Naza Corporations Holdings. Lebih daripada 1,000 orang peserta dari pelbagai lapisan masyarakat telah berhimpun di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia di Kampung Pandan di mana acara ini telah diadakan pada awal hari ini (13 Januari 2019).

Memeriahkan lagi acara ini adalah Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang telah hadir bagi merasmikan acara ini. Beliau juga turut melancarkan inisiatif dana awam “Tambah Emas” Majlis Paralimpik Malaysia bersama dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bersama dengan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Menurut SM Nasarudin SM Nasimuddin, yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi Naza Corporation Holdings, mengenai penajaan ini, “Sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Naza adalah pelaburan dalam pembangunan komuniti. Sebagai warga korporat, kami berbangga dapat memberi sokongan kepada Majlis Paralimpik Malaysia dalam usaha mereka melonjakkan kontinjen dan sukan para negara ke tahap yang seterusnya. Saya juga berharap yang rakyat Malaysia dapat tampil dan menyokong usaha dana awam supaya Majlis Paralimpik Malaysia mampu mencapai objektifnya dan mengatur laluan kontinjen para bagi membolot lebih banyak pingat emas dan kegemilangan pada masa yang akan datang.”

Sebelum berakhirnya acara berkenaan, telah diadakan satu cabutan bertuah di mana pelbagai hadiah menarik yang telah ditawarkan. Telefon pintar serba baharu serta tiket penerbangan adalah antara hadiah yang disediakan namun hadiah utama cabutan bertuah ini adalah model Vespa S125 serba baharu yang juga turut ditaja oleh Naza Corporation Holdings.

Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Sedunia disambut secara meluas setiap tahun bagi mempromosikan hak dan kesejahteraan orang kelainan upaya dalam segenap lapisan pembangunan dan masyarakat, sama ada dari segi aspek politik, sosial, ekonomi dan budaya.

Inisiatif dana awam “Tambah Emas” boleh didapati pada aplikasi dompet mudah alih Boost dan bertujuan untuk membiayai pembangunan sukan para dari peringkat akar umbi dan mempersiapkan pasukan Paralimpik negara dalam perjalanan mereka menuju ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Untuk mendapatkan maklumat yng lebih lanjut, sila layari laman sesawang www.paralympic.org.my.