Valentino Rossi AKAN Bertanding di Aragon

 

  • Valentino Rossi telah mendapat kebenaran untuk berlumba pada pusingan MotoGP hujung minggu ini di Aragon.
  • Rossi telah pun menjalankan penilaian kecergasan di Misano beberapa hari yang lalu.
  • Rossi mengalami kecederaan retak tulang kaki kanannya pada dua bahagian semasa satu kemalangan enduro pada awal bulan ini.


Nampaknya, Valentino Rossi akan turut serta dalam perlumbaan MotoGP di Aragon pada hujung minggu ini. Dalam satu berita yang mengejutkan semua orang, dan mungkin sekali Rossi sendiri, Juara Dunia sembilan kali itu disahkan cukup sihat untuk bertanding.

Pemeriksaan kesihatan mandatori telah dijalankan oleh Ketua Pegawai Perubatan MotorLand Aragon, Clemente Milan, dan dia telah mengesahkan yang Rossi cukup sihat untuk dibenarkan berlumba. Rossi akan mengambil bahagian dalam sesi Latihan Bebas 1 yang akan diadakan hari ini.

Rossi telah mengalami kecederaan yang menyebabkan tulang kaki kanannya retak di dua tempat sewaktu satu kemalangan kelajuan perlahan enduro hanya 22 hari yang lalu (TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kemalangan tersebut). Dia juga ada mengatakan bahawa kecederaan sebegitu selalunya mengambil masa sekurang-kurangnya 40 hari untuk pulih, berdasarkan pengalamannya yang pernah mengalami kecederaan yang hampir serupa pada tahun 2010, tahun di mana Jorge Lorenzo telah memenangi kejohanan MotoGP yang pertama buat dirinya.

Rossi telah membuat beberapa pusingan di litar Misano di atas motosikal Yamaha R1M (TEKAN SINI untuk membaca dengan lebih lanjut liputan kami) bagi menguji tahap kecergasannya dan mengatakan bahawa dia akan cuba untuk berlumba pada hujung minggu ini (TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut).

Pelumba professional dari dahulu lagi mempunyai kecekalan untuk kembali berlumba walaupun mengalami kecederaan yang pasti menghantui mana-mana orang biasa. Wira-wira dahulu dan sekarang, seperti Marc Marquez, Jorge Lorenzo, Casey Stoner, Mick Doohan, Kevin Schwantz, Wayne Rainey, Eddie Lawson, Freddie Spencer, malah, hampir keseluruhan pelumba pasti akan kembali menunggang jentera perlumbaan mereka dan kadang kala memenangi perlumbaan
tersebut walaupun dengan kecederaan mereka itu.

Rossi kini berada di tangga ke-empat Kejohanan MotoGP 2017 dengan 157 mata. Marquez dan Andrea Dovizioso merupakan pendahulu bersama dengan masing-masing mengutip 199 mata, manakala teman sepasukan Rossi, Maverick Vinales di tangga ke-tiga dengan 183 mata. GP Aragon adalan pusingan ke-14 daripada 18 pusingan Kejohanan MotoGP 2017.

 

Leave a Reply