Benelli Memperkenalkan Dua Model Terbaru Pada Majlis Pelancaran RFS150i – 302R (RM21,888), TRK 502 (RM28,888)

 

  • Pengenalan ini dibuat pada majlis pelancaran RFS150i, model moped pertama Benelli di Malaysia
  • Sebuah motosikal kembara 500cc dan juga sebuah motosikal lumba 300cc

Sewaktu majlis pelancaran RFS150 yang telah diadakan di Pulau Pinang pada 2 April 2017 (Ahad), Benelli telah mengambil peluang ini untuk memperkenalkan dua buah motosikal yang akan dipasarkan di negara kita iaitu 302R, sebuah model motosikal lumba dan TRK 502, sebuah model motosikal kembara.

TRK 502

 

Jentera pertama yang diperkenalkan merupakan Benelli TRK 502, sebuah motosikal kembara dengan rupa semegah mana-mana motosikal kembara yang ada di pasaran. Motosikal ini menggunakan kerangka ‘Arch bar truck‘, yang merupakan satu tradisi bagi syarikat Benelli. Berat motosikal ini ialah seberat 210kg, dengan ketinggian pelana di setinggi 815mm, panjang keseluruhannya sehingga 2180mm, lebar dan ketinggian keseluruhan motosikal pad 912mm dan 1465mm. Jarak motosikal ini dari tanah adalah pada 220mm dan mempunyai tapak roda pada 1535mm. Sesungguhnya motosikal ini tidak kelihatan canggung jika berada bersama mana-mana motosikal kembara tersohor yang ada.


Ia juga dilengkapi dengan enjin 500cc sejukan cecair, dwi-silinder 4 lejang dengan DOHC. Menghasilkan kuasa sebanyak 48hp pada 8500rpm dan tork
sehingga 45Nm pada 5000rpm memberikan kuasa dan tindak balas yang menakjubkan pada motosikal kembara ini. Selain itu, TRK 502 juga disertakan
dengan kotak gear enam-kelajuan dan juga klac basah dengan plat berganda.

Untuk sistem suspensinya pula, Benelli melengkapkan TRK 502 ini dengan fork terbalik dengan ruang gerakan sehingga 150mm untuk bahagian hadapan
digandingkan dengan lengan buai serta monoshock dan gegelung spring teleskopik teredam minyak dengan ruang gerakan sehingga 45mm dapat
menawarkan keselesaan sepenuhnya bagi para penunggangnya. Bagi sistem pembrekannya, motosikal ini dilengkapi dengan dua cakera depan berdiameter 320mm serta dua omboh angkup terapung. Bahagian belakangnya disertakan cakera berdiameter 260mm yang dicengkam dengan dua omboh angkup terapung, membolehkan motosikal ini mempunyai kuasa daya henti yang mengagumkan.

 

302R

Sebagai satu penghormatan kepada warisan legenda perlumbaan pengeluar yang asalnya dari Itali ini, mereka telah memperkenalkan satu lagi motosikal lumba yang terbaru. Motosikal lumba dinamakan 302R ini tampak cukup bergaya dan ianya kelihatan pantas, dua ciri yang cukup sinonim dengan motosikal lumba keluaran mana-mana pengilang dari Itali.

Untuk motosikal ini, ia juga menggunakan kerangka ‘Arch bar truck‘ dan ianya seberat 190kg dan dengan panjang keseluruhan sehingga 2157mm ia mempunyai ketinggian pelana sehingga 780mm. Lebar motosikal ini adalah sehingga 746mm ketinggian keseluruhannya adalah 1146mm, dengan jarak dari tanah pada 165mm dan tapak rodanya ialah 1405mm.

Dijana oleh enjin menegak berkembar 300cc sejukan cecair dwi-silinder empat lejang dengan DOHC, motosikal yang patuh Euro4 ini mengeluarkan sehingga 37hp dan 27.4Nm tork. ia juga dilengkapi dengan kotak gear enam kelajuan, klac basah dengan plat berganda,

Kelengkapan suspensinya terdiri daripada fork teleskopik dengan jarak gerakan sehingga 120mm untuk bahagian hadapan dan gegelung spring teleskopik teredam minyak dengan jarak gerakan sehingga 45mm untuk bahagian belakang.

Daya henti motosikal ini dijayakan dengan penggunaan brek hadapannya yang menggunakan cakera berganda berdiameter sehingga 260mm dan belakangnya pula cakera berdiameter 240mm. Sistem pembrekan motosikal ini juga dibantu dengan ABS.

Warna

Kemasan warna yang menarik telah ditawarkan untuk kedua-dua model ini. Bagi motosikal kembara TRK 502, ianya datang dalam tiga pilihan yang hebat,
Putih, Kelabu ‘Graphite‘, dan juga gabungan Merah/Hitam. Untuk model motosikal lumba 302R pula variasi warnanya pula terdiri daripada kemasan warna gabungan Putih-Merah, Hitam-Merah, serta Perak-Hijau. Kesemua pilihan warna yang ada menegaskan lagi keunikan kedua-dua model terbaru ini.

Harga

Harga untuk kedua-dua buah model terkini Benelli ini adalah serendah RM21,888 (harga asas tidak termasuk GST) untuk model 302R dan RM28,888 sehingga RM30,888 (tidak termasuk GST) untuk model motosikal kembara TRK 502. Bagi model 302R, ianya telahpun berada dipasaran kita dan model TRK 502 akan menyusul tidak lama lagi.

 

Setelah melancarkan model moped/kapchai pertamanya di Malaysia, Benelli merebut peluang itu untuk memperkenalkan dua buah lagi jentera terbaru yang pastinya mengujakan para penggemar jenama ini. Setelah lebih dikenali dengan jentera-jentera ‘naked‘nya, Benelli mengorak langkah dengan pelancaran moped dan telah memperkenalkan dua jenis motosikal yang berbeza dalam bentuk model 302R dan TRK 502. Kemunculan mereka pasti memberi saingan pada pengeluar-pengeluar yang akan memastikan mereka semua akan mencuba sedaya mungkin untuk memikat para penunggang dan inilah yang dinanti-nantikan oleh para penggemar motosikal negara.

Untuk maklumat lanjut, lawatilah laman sesawang serta Facebook mereka.

Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini dunia motosikal.

12 thoughts on “Benelli Memperkenalkan Dua Model Terbaru Pada Majlis Pelancaran RFS150i – 302R (RM21,888), TRK 502 (RM28,888)”

Leave a Reply