MotoGP: Yamaha Akui Dah Perah Habis Jentera 2023

Pengarah Pasukan Yamaha, Massimo Meregalli percaya Yamaha telah buat sehabis mungkin bagi mendapatkan hasil terbaik daripada jentera MotoGP musim ini. 

Yamaha antara yang bergelut musim ini dengan prestasi jentera dengan Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli gagal menghadirkan sebarang saingan di litar. Setakat ini hanya dua podium berjaya diraih kedua-duanya menerusi Quartararo. 

Antara kelemahan ketara Yamaha M1 musim ini adalah keupayaan untuk memintas jentera lawan. 

Meskipun terdapat beberapa penambahbaikan dilaksakan berbanding jentera musim lalu namun kesemuanya gagal meletakkan jentera Yamaha setanding Ducati, Aprilia dan KTM. 

Ini bermakna, bagi memastikan pelumba utama seperti Quartararo kekal di pasukan itu, Yamaha perlu menghasilkan jentera 2024 yang lebih kompetitif apatah lagi mengakui jentera 2023 sudah habis diperah. 

“Kami tidak akan putus asa. Kami akan terus berusaha sehabis mungkin. Musim ini ternyata sukar untuk kami semua,” jelas Meregalli. 

Bagaimanapun, Meregalli akui Yamaha perlu masa untuk merapatkan jurang dengan pengeluar lain.

“Ada beberapa aspek yang kami masih belajar. Kami perlu masa untuk merapatkan jurang yang ada. Ketika musim sejuk nanti kami perlu perbaiki kelajuan dan tingkatkan aerodinamik,” tambahnya. 

Ketika ini, Yamaha merupakan satu-satunya pasukan yang masih menaruh kepercayaan pada platform 4-inline sementara pengeluar lain pula mengguna pakai enjin V4.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]