Perlumbaan Di Litar Berpagar Amat Bahaya – TKKR Racing Team

Pelumba CKJ Racing Team, Izzat Zaidi Md. Saleha berada dalam keadaan kritikal selepas terbabit kemalangan ketika perlumbaan Cub Prix Malaysia yang berlangsung di Iskandar Puteri, Johor Baharu, pada Sabtu. 

Izzat yang sedang beraksi dalam kategori ‘Super Pole’ pada waktu kejadian disahkan mengalami kecederaan patah tulang rusuk kiri dan pendarahan dalaman di bahagian paru-paru.

Pengurus Pasukan CKJ Racing, Amer Saad mengesahkan pelumba 27 tahun itu ketika ini sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan masih lagi bergantung 100 peratus pada mesin bantuan pernafasan setakat semalam. 

Rakaman kemalangan juga menunjukkan Izzat melanggar penghadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan di tepi litar. 

Dalam pada itu, pasukan TKKR Racing Team  berdasarkan satu perkongsian di Facebook berpendapat pihak berwajib termasuk Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) perlu bertindak dan memperbaiki infrastruktur litar terutamanya di Cub Prix dipertingkat. 

“MCP (Malaysia Cub Prix) ni di Santioned oleh MAM.  Maksud ‘sanctioned’ ini adalah untuk memastikan faktor keselamatan diambil oleh penganjur dan memenuhi SOP (prosedur operasi standard) keselamatan yg di tetapkan .

“Kelemahan litar seperti ini ada banyak namun saya pun kurang faham kenapa pihak berwajib tidak mengambil angkah ketat utk memastikan pekara sebegini tidak akan berlaku.

“Sebagai pemain industri sudah terlalu lama kami memohon kpd pihak berwajib agar perbanyakkan infrastruktur sukan lumba motor ini dibuat,” jelasnya. 

Pada masa sama, pihak TKKR Racing Team juga mengakui perlumbaan di litar yang dikelilingi pagar yang rapat juga membahayakan.

“Secara jujurnya saya sendiri berpendapat perlumbaan di litar berpagar seperti ini amat amat bahaya dan kita dan pun menyaksikan dua pelumba maut dilitar berpagar,” tambahnya. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]