Ducati ‘Hypermono’ 659 Dikesan Jalani Ujian – Enjin Satu Silinder, 75HP?

Pada Oktober tahun lalu,  Ducati telah pun mendaftarkan tanda dagangan di Amerika Syarikat bagi sebuah enjin satu silinder 659cc 4-valve dengan sistem penyejukan cecair. 

Ketika itu, pelbagai spekulasi dibangkitkan termasuk mendakwa enjin tersebut bakal diperkenalkan pada sebuah motosikal jenis Scrambler baharu. Ini kerana Ducati pernah menghasilkan Scrambler pada era 60 dan 70an yang dikuasakan enjin satu silinder. Juga tidak dilupakan, Ducati pernah menghasilkan jentera lumba Ducati Supermono sekitar 1993 dan 1995 yang dikuasakan enjin satu silinder bagi siri perlumbaan Supermono. 

Bagaimanapun, perkembangan terbaru mendapati sangkaan awal itu ternyata meleset kerana motosikal dengan enjin 659cc itu sudah mula menjalani ujian di Eropah. 

Berdasarkan tinjauan foto ‘spy shot’ yang dikongsikan, motosikal berkenaan jelas menampilkan gaya ‘supermoto’ sekaligus memberi bayangan model baharu itu akan memberi saingan kepada KTM 690. 

*sumber: Motorrad

Bukan itu sahaja, turut kelihatan adalah penggunaan kerangka serba baharu dengan ‘swingarm’ yang diikat terus kepada bahagian enjin. Cara ini pastinya bagi memastikan model serba baharu ini kekal ringan seperti pesaing lain. 

Dalam pada itu, bahagian depan menempatkan fork jenis USD yang dipadankan bersama cakera brek tunggal. Rim pula kelihatan berukuran 17-inci dan hampir pasti dipadankan bersama tayar Pirelli. 

Sementara itu, kami juga tertunggu-tunggu apakah nama sesuai yang akan diberikan kepada model baharu ini. Untuk rekod, Ducati akan meraikan ulang tahun ke-30 Supermono tahun ini maka jolokan nama ‘Hypermono’ bagi motosikal satu silinder baharu ini juga tampak sesuai.  Namun, terdapat kemungkinan model baharu ini akan mengguna pakai nama Hypermotard.

Apa pun, segalanya akan terjawab ketika pelancaran global yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]