RASMI: BMW F 900 GS Dirasmikan Di Eropah – 105HP, 95Nm

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, BMW Motorrad dengan rasminya mengumumkan barisan model ‘adventure’ bagi tahun 2024 yang merangkumi BMW F 900 GS, F 900 GS Adventure dan F 800 GS menggantikan F 850 dan F 750 sebelum ini. 

*BMW F 900 GS (kiri), F 900 GS Adventure (kanan)

Meskipun ketiga-tiga model datang dengan sesaran enjin yang lebih besar namun fokus utama terarah pada F 900 GS yang dibangunkan dengan mengoptimumkan keupayaan ‘off-road’. 

Menurut BMW, ketiga-tiga model dikuasakan enjin parallel-twin 895cc yang sama terdapat pada F 900 R dan F 900 XR keluaran 2020. Bagi F 900 GS dan F 900 GS Adventure, kedua-duanya menawarkan 105hp pada 8,500rpm dan 95Nm pada 6,750rpm. 

Bagaimanapun, sebagai model ‘entry-level’, F 850 GS pula menawarkan kuasa lebih rendah, dengan 87hp pada 6,750rpm dan 91Nm. Meskipun begitu, BMW mendakwa model 2024 ini menawarkan lengkungan tork pada ‘rev’ penuh yang lebih baik berbanding model terdahulu. 

Untuk rekod, BMW F 900 GS, F 900 GS Adventure dan F 850 GS tampil dengan dua mod menunggang secara standard, merangkumi Rain dan Road serta ‘dynamic traction control’. Namun pakej tambahan Riding Modes Pro pula menawarkan mod Dynamic, Enduro dan Enduro Pro pada F 900 GS dan F 900 GS Adventure. 

Namun, fokus kami terarah pada F 900 GS yang tampil dengan reka bentuk lebih minimalis. Hasilnya, F 900 GS ini 14kg lebih ringan berbanding F 850 GS. 

Ketika F 800 GS dan F 900 GS Adventure mengguna pakai tangki keluli, F 900 GS pula menggunakan bahan jenis plastik yang mengurangkan berat sebanyak 4.5kg. Namun, langkah itu pula mengecilkan tangki kepada 14.3L berbanding 15L yang ada pada F 800 GS sebelum ini. 

Bahagian belakang juga telah direka semula agar lebih kurus dan ringan di samping memudahkan pemasangan ‘soft bags’ atau ‘top-box’. 

Keupayaan off-road juga dipertingkat dengan ‘handlebar’ yang lebih tinggi dan pemijak kaki yang lebih rendah. Menurut BMW kedua-dua ciri ini termasuk rangki yang telah direka semula memudahkan kawalan jentera sewaktu berdiri. 

Di bahagian depan, F 900 GS hadir dengan fork jenis inverted 43mm boleh laras dari Showa dengan jarak pergerakan 231mm (sama seperti Ducati DesertX) sementara belakang pula menempatkan shock tunggal boleh laras (preload/rebound) dengan jarak pergerakan 215mm. 

Menariknya, BMW menawarkan pakej Enduro Pro yang merangkumi fork depan 45mm dengan penyerap hentakan tunggal ZF Sachs di belakang selain daripada ‘handelbar’ yang lebih tinggi dan rantai M Endurance. BMW mendakwa pakej Enduro Pro ini juga lebih ringan. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk lampu LED penuh dengan pencahayaan ‘low beam’ yang lebih luas sekaligus meningkatkan pemandangan di waktu malam serta pemegang peranti navigasi 12mm. 

GALERI: BMW F 900 GS

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]