Kematian Pelumba Drag: Tiada Kelulusan MAM, KBS Mahu Penganjur Bertanggungjawab

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu pihak penganjur Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 bertanggungjawab atas kematian salah seorang peserta yang terbabit kemalangan pada Ahad. 

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Setiausaha (KSU) KBS Dr K Nagulendran pihak penganjur harus bertanggungjawab ekoran mengadakan perlumbaan yang tidak mendapat kelulusan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM). 

“Perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan MAM, kami (KBS) sudah membuat semakan. 

“Selepas ini pihak kami akan adakan perbincangan dan melakukan tindakan susulan dengan MAM. MAM sendiri juga perlu melakukan tindakan susulan dengan penganjur berhubung insiden berkenaan,” jelasnya kepada pemberita. 

Dalam pada itu, Dr K. Nagulendran juga mengingatkan semua pihak bahawa sebarang penganjuran perlumbaan perlu mendapatkan kebenarakan daripada pihak Suruhanjaya Sukan. 

“Kami kesal insiden ini berlaku, penganjur harus bertanggungjawab, saya tidak rasa ia sesuatu yang betul mengadakan perlumbaan tanpa kelulusan dan langkah-langkah keselamatan,” tambahnya. 

Mangsa, Hattem Rashdi, 22, pelumba pasukan ESR Motor terbabit kemalangan pada Ahad sebelum disahkan meninggal dunia pada petang Isnin ketika sedang menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang. – Harian Metro

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]