CFMOTO 1250TR-G Masuk Malaysia Tahun Ini – 140HP, 120Nm

CFMOTO membuat kejutan apabila memperkenalkan 1250TR-G untuk pasaran global sekitar Mac tahun lalu. Ini kerana motosikal ‘grand-tourer’ itu pada awalnya hanya dibangunkan sebagai kegunaan pihak polis di China sebelum membuat keputusan untuk membuka jualan kepada orang ramai. 

Pelancaran 1250TR-G itu sekaligus menyaksikan CFMOTO akan bersaing dengan beberapa model terkemuka termasuk BMW R 1250 RT, Yamaha FJR1300, Suzuki GSX-S1000GT serta Honda GL1800 Gold Wing. 

Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan bahawa rakyat Malaysia juga akan berpeluang memiliki 1250TR-G ini tidak lama lagi. 

Berdasarkan maklumat yang kami perolehi, CFMOTO Malaysia akan membawa masuk 1250TR-G sekitar Oktober tahun ini bagi tujuan Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Pelancaran model itu juga dijadualkan berlangsung tahun ini dengan kumpulan pertama melibatkan 50 unit sahaja. 

Seperti pesaing lain dalam segmennya, 1250TR-G juga dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan premium termasuk suspensi Marzocchi boleh laras dan kaliper brek Brembo Stylema 4-pot depan yang dipadankan bersama cakera brek 320mm dan Brembo 2-pot belakang dengan cakera brek 270mm. Model ini juga dilengkapi dengan Cornering ABS dan ‘steering damper’ secara standard. 

Ciri lain pula terdiri daripada pencahayaan LED penuh, penghadang angin boleh laras secara elektronik serta panel meter 12.5-inci MMI. Penunggang juga disajikan dengan pembesar suara jenama JBL sekiranya mahu menikmati muzik sewaktu pengembaraan. 

Juga tidak ketinggalan sistem keyless, TPMS (tire pressure monitoring system) serta ‘heated grip’. Melengkapkan lagi pengalaman menunggang, CFMOTO 1250TR-G juga menawarkan ciri ‘quickshifter’ (atas/bawah). 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • cruise control
  • RDS electronic radar
  • HHC hill start assist
  • tangki 23L
  • berat 304kg

Untuk rekod, CFMOTO 1250TR-G dikuasakan enjin V-Twin 1,279cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 140hp pada 8,500rpm dan 120Nm pada 7,000rpm. Menariknya, enjin V-Twin itu dibangunkan daripada platform LC8 milik KTM yang menggerakan 1290 Super Duke R dan 1290 Super Adventure. 

Buat masa ini kami masih belum mendapat maklumat mengenai harga penjualan namun segalanya pasti akan diumumkan pada hari pelancaran nanti yang dijadualkan berlangsung tahun ini. Untuk rekod, beberapa pengedar CFMOTO di Malaysia juga telah ke China bagi menghadiri CFMOTO Day yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuzhou. Mereka juga berpeluang menyaksikan 1250TR-G dengan lebih dekat. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]