Triumph Daytona 660 Jalani Ujian Di Eropah, Lancar Tahun Ini?

Beberapa tahun ini penghasilan jentera sportsbike 1000cc dan supersport 600cc berprestasi tinggi telah terjejas ekoran peraturan emisi ketat yang melanda pasaran Eropah dan Asia. 

Hasilnya, model popular seperti Yamaha YZF-R6 telah pun dihentikan pengeluaran sementara Honda CBR600RR pula hanya dijual dibeberapa pasaran sahaja. 

Bagaimanapun, peralihan masa menyaksikan pengeluar dua roda beralih kepada pembangunan jentera yang lebih “jinak”, kurang ekstrim dan lebih mampu milik antaranya Yamaha YZF-R7, Honda CBR650R dan Aprilia RS660. 

Terbaru, Triumph Motorcycles turut akan menyertai segmen sama menerusi Daytona 660. 

*Triumph Daytona 765 Moto2 Edition

Jenama motosikal Britain itu meninggalkan arena supersport pada 2017 apabila tidak lagi menawarkan Daytona 675. Meskipun kembali dengan Daytona 765 edisi terhad – hanya 1,530 unit dihasilkan –  bagi meraikan kejayaan menjadi pembekal enjin Moto2 pada 2020, tiada lagi model Daytona dihasilkan selepas itu. 

Namun, penampakkan sebuah jentera Triumph dengan panel badan penuh (full-fairing) menjalani ujian di Eropah baru-baru ini mengesahkan kemunculan semula model Daytona. Ketibaan model itu sudah pun dijangka apabila Triumph memfailkan tanda dagangan Triumph Daytona tahun lalu. 

*enjin 3-silinder 660cc

Bagaimanapun, berbanding Daytona 765 yang merupakan jentera berprestasi tinggi, Daytona 660 pula menerapkan ciri sama seperti Honda CBR650R dan Aprilia RS660 antaranya ergonomik yang lebih selesa dan tidak agresif.  Gambar spy shot yang dikongsikan juga mengesahkan perkara ini. 

Dalam pada itu, Daytona 660 itu dijangka mengguna pakai enjin tiga silinder 660cc yang sama terdapat pada Trident 660 dan Tiger Sport 660 sedia ada. Ini bermakna, kami menjangkakan penghasilkan kuasa sekitar 80hp dan 64Nm. 

*lampu hadapan Daytona 660 dipinjamkan dari Tiger Sport 660.

Dari segi rekaan, Daytona 660 jelas meminjam beberapa ciri daripada jentera model 660 sedia ada termasuk lampu depan dari Tiger Sport 660. Namun, Daytona 660 ini masih lagi datang dengan beberapa aspek serba baharu antaranya panel badan dan reka bentuk tangki. 

Buat masa ini Triumph Motorcycles masih belum mengumumkan tarikh rasmi bagi pelancaran model baharu ini namun mengambil kira pameran EICMA 2023 semakin hampir, kemungkinan acara itu bakal menjadi platform pendedahan sulung Triumph Daytona 660. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]