QJMotor Mula Hasilkan SRK1000RR Di China – Enjin 921cc MV Agusta, 127HP

Pada Januari lalu, QJMotor telah pun mendedahkan prototaip jentera superbike sulung dari China menerusi SRK1000RR. Prototaip itu dibangunkan hasil kerjasama dengan MV Agusta. 

Terbaru, QJMotor mengesahkan SRK1000RR itu kini telah pun memasuki peringkat pengeluaran berdasarkan dokumen jenis kelulusan (type-approval documents) yang difailkan di China. Dokumen itu juga mendedahkan beberapa perkara penting mengenai model serba baharu itu. 

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, SRK1000RR dilengkapi dengan enjin 4-silinder 921cc yang sama terdapat pada MV Agusta 921S yang akan diperkenalkan tidak lama lagi. 

*MV Agusta 921S

Menariknya, ketika jentera Itali itu menawarkan 115hp dan 118Nm, SRK1000RR pula hadir dengan 127hp pada 10,500rpm dan 95Nm pada 8,100rpm. Ini bermakna platform 921cc itu telah ditala semula oleh QJMotor. Tinjauan di media antarabangsa melaporkan bahawa enjin tersebut dibangunkan QJMotor dan akan diguna pakai MV Agusta pada 921S. 

Bagaimanapun, sebagai jentera superbike, ternyata SRK1000RR ketinggalan jika dibandingkan dengan pesaing semasa antaranya Honda CBR1000RR-R Fireblade (214hp), Yamaha R1M (198hp) dan Kawasaki Ninja ZX-10R (203hp). 

Namun begitu, SRK1000RR hadir dengan beberapa komponen premium antaranya ‘single-sided swingarm’ serta fork dan monoshock Marzocchi. Kedua-dua kelengkapan ini diambil terus dari MV Agusta Brutale 1000 RS. 

Tidak ketinggalan pakej brek pula terdiri daripada Brembo Stylema yang dipadankan bersama rim 17-inci. 

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, ternyata QJMotor mengambil pendekatan yang lebih original berbanding “meniru” rekaan model sedia ada daripada jenama lebih terkemuka. Apa pun, kami akan tunggu sehingga hari pelancaran yang dijangka akan berlaku di EICMA 2023 pada November ini. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]