UMW Toyota akan tetap meneruskan penjualan Toyota Vios untuk pasaran Malaysia meskipun terpalit dengan kontroversi Daihatsu Co. Ltd yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
UMW Toyota dalam satu kenyataan memberi jaminan bahawa isu keselamatan dan kualiti Vios tidak terjejas.
“Bagi pelanggan yang telah menempah Toyota Vios atau berminat untuk membelinya, kami beri jaminan bahawa Toyota Vios serba baharu itu mencapai segala peraturan keselamatan dan kualiti kenderaan tersebut tidak terjejas,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K.
Ujian keselamatan susulan dijalankan mendapati Toyota Vios terus mencapai piawaian UN-R95 sekaligus tiada keperluan membuat panggilan semula.
Sebelum ini, Perodua turut menyuarakan kenyataan sama dan memberi jaminan bahawa model terbaru, Perodua Axia turut mencapai piawaian UN-R95.
Toyota Vios dan Perodua Axia antara empat model yang terpalit dengan kontroversi Daihatsu sebelum ini yang mengakui memalsukan ujian keselamatan melibatkan panel sisi kiri dan kanan.