Pasangan Suami Isteri, 17 Dan 16 Tahun Serah Diri Selepas Aksi ‘Wheelie’ Tular

Pasangan suami isteri telah ditahan pada Khamis selepas terlibat melakukan aksi ‘wheelie’ dengan motosikal jenis Honda EX, baru-baru ini. 

Pasangan berusia 17 dan 16 tahun itu telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada jam 10 pagi Khamis dan disahkan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud. 

Bagaimanapun, pasangan muda itu terlebih dahulu bertindak menghilangkan diri selama dua hari selepas diburu pihak polis sebelum menyerah diri. 

“Mereka kini dalam proses permohonan reman pada Jumaat untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas Mohd Rosdi Daud dalam satu kenyataan.

Jika disabitkan kesalahan, pasangan suami isteri itu boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000. 

Video berdurasi 29 saat itu tular beberapa hari lalu kerana melakukan aksi ‘wheelie’ sambil mengenakan baju Melayu dan baju kurung sempena sambutan Aidilfitri. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]