GWM Jadi Peneraju Kenderaan NEV Dengan Pelancaran Model Baharu

Great Wall Motor (GWM) telah mempamerkan komitmen terhadap kenderaan tenaga baharu (NEV) dengan memperkenalkan barisan model NEV menerusi jenama HAVAL, TANK, ORA, POER dan WEY di Auto Shanghai 2023, baru-baru ini. 

Naib Presiden dan Ketua Pemasaran Antarabangsa GWM, Parker Shi, mengetengahkan visi baharu syarikat itu terhadap NEV di samping menegaskan betapa signifikan Auto Shanghai 2023 bagi GWM. 

“Auto Shanghai 2023 merupakan platform terbaik bagi mempamerkan masa depan NEV dan teknologi lain kepada umum. 

“GMW telah menjemput 300 media dan pengedar daripada 60 negara (termasuk Malaysia) bagi menyaksikan dengan lebih dekat tawaran model NEV dan teknologi ketika di pameran tersebut,” jelasnya. 

Ketika pameran tersebut berlangsung, HAVAL telah memperkenalkan Fierce Dragon MAX yang merupakan SUV pertama dunia dengan teknologi Hybrid Intelligent 4WD selain daripada menawarkan rekaan moden dan futuristik. 

Dalam pada itu, POER pula mencuri tumpuan dengan trak pikap 6×6 dan POER Shanhai PHEV/HEV dengan kedua-duanya merupakan kenderaaan NEV. Ini secara tidak langsung, membuktikan kemampuan GWM dalam menghasilkan trak pikap NEV. 

Sementara itu, GWM TANK pula memperkenalkan dua model NEV baharu menerusi TANK 400 PHEV dan TANK 500 PHEV yang merupakan SUV berkeupayaan ‘off-road’ premium mewah. Menurut GWM, TANK 500 PHEV sudah pun dibuka untuk pra-jualan global minggu ini. 

Tidak cukup dengan itu, GWM WEY telah posisikan jenama mereka dalam segmen NEV dengan MPV sulung, WEY Gaoshan PHEV. Turut diperkenalkan adalah SUV elektrik Lanshan PHEV yang menawarkan 6-tempat duduk. 

Di samping itu, GWM ORA yang kini telah pun dipasarkan di Malaysia menerusi Ora Good Cat, mempamerkan dua model baharu yang datang dengan rekaan klasik namun dengan ciri moden dan berteknologi tinggi. Mengambil kira kejayaan Ora Good Cat di Malaysia, kami jangkakan dua model ini akan turut diperkenalkan kelak. 

Menerusi barisan model NEV yang diperkenalkan, ini secara tidak langsung membuktikan betapa komited GWM dalam mengetengahkan dan mempromosikan kenderaan tenaga baharu (NEV) untuk pasaran global sekaligus memenuhi permintaan pasaran global yang mahukan kenderaan hijau. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]