Motosikal jenis naked terbaru keluaran Honda, CB750 Hornet telah pun memasuki pasaran negara jiran, Thailand.
Datang dengan dua pilihan warna; Graphite Black dan Pearl Glare White, Honda CB750 Hornet ini ditawarkan pada harga THB319,000 (RM41.2k).
Honda Hornet 750 dihidupkan enjin parallel-twin 755cc 8-valve dengan penyejukan cecair dan menampilkan sistem Unicam serta ‘270-degree crank’.
Menariknya, bahagian silinder enjin telah disalut dengan bahan jenis ‘nickel-silicon carbide’ yang sebelum ini diguna pakai pada CBR1000RR-R Fireblade dan CRF450R.
Honda mendakwa enjin tersebut berupaya menghasilkan 92hp pada 9,500rpm dan 75Nm pada 7,250rpm. Kuasa enjin kemudiannya disalurkan kepada transmisi 6-kelajuan dan dibantu klac ‘assist/slipper’.
Menurut Honda, Hornet 750 ini mampu mencapai kelajuan maksima 205km/j.
Sementara itu, bahagian suspensi dikendalikan fork depan Showa SFF-BP 41mm yang menawarkan jarak pergerakan 130mm. Bahagian belakang pula tampil dengan ‘monoshock’ dengan swingarm Pro-Link yang menawarkan jarak pergerakan 150mm.
Brek pula dikawal kaliper berkembar 4-pot Nissin di depan dengan cakera brek 296mm manakala kaliper brek satu piston dengan cakera 240mm mengawal brek belakang. Honda juga memuatkan sistem ABS dwi-saluran sebagai langkah keselamatan ekstra.
Honda Hornet 750 dilengkapi sistem ride-by-wire yang secara tidak langsung menawarkan empat mod menunggang; Standard, Sport, Rain dan User. Selain itu motosikal tersebut juga didatangkan dengan fungsi Honda Selectable Torque Control dan Wheelie Control. Sistem tersebut boleh diakses menerusi skrin TFT 5-inci yang juga boleh disambung kepada peranti Android dan iOS.