MForce Lancar WMoto WM110 – Dengan Suspensi KYB, RM3,788

MForce Bike Holdings telah memperkenalkan motosikal mampu milik terbaru untuk pasaran tempatan menerusi WMoto WM110 dengan harga jualan asas RM3,788. 

Dikuasakan enjin satu silinder 109cc 4-stroke, WM110 ini menawarkan 7.1hp pada 8,000rpm dan 7.2Nm pada 6,000rpm. Menariknya dengan hanya seberat 99kg, WM110 ini pastinya mudah dikendalikan untuk penunggang lelaki dan wanita. 

Menariknya, meskipun dijual sebagai kapcai marhaen, namun WMoto WM110 ini datang dengan ciri premium termasuk penyerap hentakan berkembar belakang dari Kayaba (KYB) dan cakera brek di depan. 

Meskipun tidak didatangkan dengan lampu LED namun MForce mendakwa WM110 ini masih lagi menawarkan pencahayaan yang terang. Antara ciri lain ditawarkan termasuk tangki minyak berkapasiti 4L dan mampu pergi sejauh 55km bagi setiap liter. 

Tampil dengan tiga warna pilihan, biru, merah dan hitam, WMoto WM110 ini turut datang dengan waranti pengeluar dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dahulu). 

Dalam perkembangan sama, MForce turut memperkenalkan WMoto VE1-110E dengan harga jualan asas RM3,748. Sama seperti WM110, model ini juga ditawarkan dengan tiga pilihan warna; merah, biru dan kuning.

Menawarkan 6.6hp dan 6.9Nm daripada enjin satu silinder 106cc 2-valve, model ini juga didatangkan dengan fork teleskopik depan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply