Baru-baru ini, Harley-Davidson telah pun memperkenalkan model X350 hasil kerjasama dengan pengeluar motosikal China, QJ Motor.
Kemunculan model itu telah pun dijangka berdasarkan beberapa paten dan dokumen pensijilan yang difailkan di China dan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Harley-Davidson tidak berhenti disitu kerana pengeluar motosikal dari Milwaukee itu turut mendedahkan model 400cc serba baharu hasil kerjasama dengan pengeluar India, Hero MotorCorp.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan, motosikal tersebut – yang dianggarkan bersesaran 400cc – tampil dengan rekaan ‘flat track’ mirip Harley-Davidson XR1200 namun dengan sistem penyejukan udara/minyak. Difahamkan enjin tersebut mampu dipulas sehingga 8,000rpm.
Ada laporan yang mendakwa model tersebut dikuasaken enjin Hero XPulse 400 namun tiada pengesahan rasmi setakat ini.
Antara ciri ditawarkan termasuk lampu LED penuh, panel meter TFT berwarna, fork depan jenis USD, kaliper brek ByBre dan tayar jenama CEAT Zoom Cruz.
Melihat kepada keseluruhan rupa model 400cc itu hampir siap sepenuhnya, kami jangkakan Harley-Davidson akan memperkenalkan model tersebut tidak lama lagi.