Kawasaki mendedahkan Ninja ZX-4RR secara rasmi di Amerika Syarikat pada Februari lalu sebelum motosikal tersebut mula buat penampilan di Thailand dan Indonesia.
![](https://motomalaya.net/blog/wp-content/uploads/2023/02/kawasaki-ninja-zx-4rr-2023-1-1024x731.jpg)
Indonesia merupakan pasaran paling meriah bagi Kawasaki terutamanya sejak memperkenalkan Ninja ZX-25R tiga tahun lalu.
Bagi meraikan ketibaan Kawasaki Ninja ZX-4RR di pasaran negara itu, Kawasaki Indonesia telah memuat naik beberapa video promosi tentang motosikal tersebut.
![](https://motomalaya.net/blog/wp-content/uploads/2023/02/kawasaki-ninja-zx-4rr-2023-2-1024x731.jpg)
Bagaimanapun, video paling mencuri tumpuan adalah ujian ‘top speed’ atas mesin dyno. Ini kerana, ujian tersebut menunjukkan bagaimana Ninja ZX-4RR mampu mencecah kelajuan 253km/j pada gear enam.
Meskipun kelajuan tersebut dicatat pada mesin dyno dan bukannya atas jalan raya, angka yang ditonjolkan masih mengagumkan.
Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-4RR dikuasakan enjin 399cc 4-inline yang berupaya menghasilkan 79hp (dengan Ram Air) pada 14,500rpm dan 35.9Nm pada 11,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan.
![](https://motomalaya.net/blog/wp-content/uploads/2023/02/kawasaki-ninja-zx-4rr-2023-3-1024x731.jpg)
Dalam perkembangan sama, tiada maklumat daripada pihak Kawasaki Malaysia sama ada Ninja ZX-4RR akan dipasarkan di Malaysia. Bagaimanapun, kami diberitahu sebelum ini bahawa Ninja ZX-25R akan diperkenalkan tahun ini dan akan dipasang sebagai model CKD.