Kebelakangan ini pengeluar motosikal dunia gemar menghasilkan motosikal bersesaran 660cc antaranya Aprilia dengan RS 660, Tuono 660 dan Tuareg 660 sebelum diekori Triumph dengan Trident 660 dan Tiger Spprt 660.
Dalam perkembangan terbaru, sebuah lagi pengeluar motosikal, kali ini dari China bakal mengikut jejak sama. Berdasarkan laporan terkini, Voge dikhabarkan sedang membangunkan sebuah jentera ‘sportsbike’ 4-inline 660cc.
Maklumat tersebut timbul selepas mesyuarat pengedar Voge yang berlangsung di China baru-baru ini. Ketika program tersebut, gambar slaid yang disiarkan telah tular lantas mendedahkan info menarik tentang motosikal tersebut.
Pertamanya, ketika Aprilia memilih platform parallel-twin dan Triumph dengan tiga silinder, Voge pula memilih jalan tradisional dengan konfigurasi 4-inline.
Meskipun slaid tersebut tidak mendedahkan kuasa dan tork yang dihasilkan namun tertera jentera tersebut mampu mencapai kelajuan maksima 200km/j dan boleh melakukan 0-100km/j dalam tempoh 3.5 saat.
Antara info lain yang berjaya dikorek termasuk kaliper brek 4-pot depan jenama Brembo dan tayar Pirello Diabo depan dan belakang. Pakej suspensi pula hadir menerusi jenama KYB. Menariknya, model akan datang itu juga dilengkapi dengan swingarm jenis ‘single-sided’.
Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk ‘traction control’ dan ABS dwi-saluran, serta panel meter TFT.
Berdasarkan info dikongsikan, jelas Voge cukup serius dalam pembangunan jentera ‘sportsbike’ tersebut. Apa pun, segalanya akan terjawab sebaik model ini diperkenalkan secara rasmi nanti.