Kawasaki Ninja ZX-4R Bakal Lancar Di Thailand Bulan Ini

Kawasaki telah pun mengorak langkah dengan melancarkan Ninja ZX-4R di pasaran Amerika Syarikat baru-baru ini sekaligus menjadi pasaran pertama dunia yang menerima model 4-silinder itu. 

Bagaimanapun, kami difahamkan motosikal 400cc itu akan turut dilancarkan di pasaran Asia Tenggara bulan ini di Thailand dan Indonesia. 

Berdasarkan ‘teaser’ Bangkok International Motor Show 2023 yang akan berlangsung pada 22 Mac hingga 2 April ini, jelas menunjukkan bayang motosikal yang didakwa sebagai Ninja ZX-4R. 

Tinjauan di laman web media Thailand juga merujuk kepada perkara sama sekaligus menguatkan lagi ketibaan model itu disana. 

Dalam pada itu, Kawasaki Indonesia juga dilaporkan akan turut melancarkan Ninja ZX-4R di pasaran negara itu bulan ini. Berdasarkan laporan rakan media Indonesia, Iwanbanaran.com, Kawasaki Indonesia dijadualkan akan memperkenalkan sebuah jentera serba baharu minggu depan. 

Meskipun begitu, info di Thailand kelihatan lebih sahih berbanding di Indonesia yang masih lagi belum ada sebarang bayangan kemunculan ZX-4R. 

Ketika negara jiran sudah mula disajikan dengan bibit-bibit ZX-4R, Malaysia masih lagi menanti kedatangan Ninja ZX-25R. 

Bagaimanapun, seperti laporan kami sebelum ini, Ninja ZX-25R akan dilancarkan sekitar pertengahan tahun ini dan akan dijenamakan sebagai Modenas ekoran dipasang sepenuhnya di Malaysia sebagai produk CKD (pemasangan tempatan). 

Jika penantian ZX-25R memakan masa lebih dua tahun, kami tak sarankan pembaca meletak harapan tinggi bagi kemuncul Ninja ZX-4R disini. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]