Antara KTM RC 200 Dan DUKE 200: Mana Yang Kena Dengan Jiwa?

Jenama KTM dah lama bertapak di Malaysia jadi tak hairanlah bersepah motosikal jenama Austria itu memenuhi jalan raya di Malaysia. 

Model paling popular di Malaysia sudah tentu terarah pada dua model, RC200 dan DUKE 200. Ini kerana selain daripada datang dengan harga mampu milik RM15,888 dan RM13,888, kedua-dua model ini juga paling berkuasa dalam segmenya. 

Untuk rekod, KTM RC200 dan DUKE 200 berkongsi enjin satu silinder 200cc dengan sistem penyejukan cecair yang menghasilkan 26hp dan 19.5Nm. 

Meskipun hadir dengan enjin yang sama namun masing-masing menawarkan perwatakan yang berbeza. Pertamanya, RC200 menawarkan pengalaman tunggangan yang ‘sporty’ dan agresif menyamai jentera ‘sportsbike’ yang dibina untuk litar lumba manakala KTM DUKE 200 pula menghadirkan gaya menunggang ala ‘supermoto’ dengan kedudukan yang menegak dan garang. 

Tambahan pula, nisbah gear pada RC200 lebih panjang berbanding DUKE 200 yang menawarkan nisbah gear lebih pendek. Kedua-dua perbezaan ini secara langsung menghasilkan perwatakan berbeza. 

Untuk itu, DUKE 200 merupakan senjata utama jika aktiviti hujung minggu anda adalah melapah selekoh di Bukit Tinggi atau Kuala Klawang. 

Tapi jika hobi anda adalah ke litar lumba maka KTM RC200 harus menjadi pilihan utama. Ini kerana RC200 generasi terbaru itu dibangunkan dengan teknologi CFD (computational flow dynamics) yang membantu menghasilkan reka bentuk aerodinamik terbaik. Untuk rekod, teknologi sama turut diguna pakai KTM bagi pembangunan jentera di Moto3. 

Tak cukup dengan itu, kedua-duanya datang dengan dua mod menunggang, Road dan Supermoto. Kedua-dua mod ini menawarkan pengalaman menunggang berbeza, dengan Road untuk kegunaan harian manakala Supermoto menghadirkan keterujaan ekstra. 

Perlu dimaklumkan, dengan mengaktifkan mod Supermoto, fungsi ABS dwi-saluran di tayar belakang akan dimatikan sekaligus membenarkan penunggang untuk meluncurkan tayar belakang dengan lebih mudah.

Selain itu, kelengkapan suspensi juga cukup premium dengan kehadiran fork depan USD 43mm dari WP dan penyerap hentakan tunggal belakang juga dari WP yang boleh diselaraskan. 

Dari aspek praktikal, KTM DUKE 200 paling menonjol terutamanya dengan berat (kering) diletakkan pada 140kg sahaja. Ini secara tak langsung menjadikan DUKE 200 mesra untuk kaum Adam dan Hawa. 

Tak lupa juga kehadiran tangki 13.4L pada DUKE 200 turut menyumbang kepada penjimatan bahan api yang baik. Percaya atau tidak, KTM DUKE 200 boleh pergi sejauh 360km pada setiap tangki penuh. 

Sementara itu, KTM RC200 juga memiliki daya penarik tersendiri. Selain daripada ciri aerodinamik ala Moto3, beberapa ciri lain pada model ‘full-fairing’ itu juga cukup mengagumkan. 

Pertamanya, ‘clip-on handlebar’ pada RC200 15mm lebih tinggi berbanding generasi terdahulu sekaligus lebih selesa dan boleh diturunkan sehingga 10mm mengikut kesesuaian. Ciri ini secara tak langsung membolehkan RC200 bertukar menjadi jentera yang cukup ideal di litar lumba.

KTM memberi penekanan mendalam terhadap bahagian panel depan termasuk cermin sisi yang direka khas agar tahap aerodinamik berada pada kedudukan optimum sepanjang masa. Mencelah di antara kereta sewaktu trafik sesak juga cukup mudah. 

Seperti DUKE 200, RC200 juga cukup ringan dan mudah dikendalikan hasil penggunaan kerangka treliis. Namun, bahagian subframe yang lebih kukuh membenarkan penunggang untuk melayan ‘corner’ dengan lebih yakin. 

Persoalannya, yang mana satu paling sesuai dengan jiwa? Jika anda mencari jentera yang praktikal, KTM DUKE 200 pastinya pilihan utama dengan gaya duduk menegak dan tangki yang besar menjadikannya calon sesuai untuk kegunaan harian. 

Bagaimanapun, jika anda mahukan jentera yang mengujakan bukan sahaja untuk kegunaan harian malah meratah selekoh di litar lumba maka RC200 harus dipertimbangkan. 

Jika ciri yang ditawarkan kedua-dua model ini berjaya memancing perhatian, KTM Malaysia juga ada tawaran yang boleh membuatkan tulang rusuk anda bergetar. Ini kerana sehingga 31 Mac 2023, KTM Malaysia menawarkan penyelenggaraan percuma – termasuk minyak enjin, penapis minyak dan upah – bernilai RM1,237. 

Jadi tunggu apa lagi, buat pilihan sekarang dan nikmati tawaran istimewa ini. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply