MotoGP: Setia Dengan Enjin 4-Inline Bakal Undang Padah Pada Yamaha?

Ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah pun menutup tirai pada Ahad dengan rata-rata pasukan berpuas hati dengan prestasi semasa jentera masing-masing. 

Sesi yang berlangsung sejak Jumaat itu menyaksikan para pelumba menggunakan peluang yang ada untuk menguji jentera dan beberapa pelumba turut mempamerkan kejutan. 

Pada hari terakhir pada Ahad, pelumba Mooney VR46 Ducati, Luca Marini merekodkan catatan masa terpantas bagi sepanjang tiga hari dengan 1 minit 57.889 saat diikuti Francesco Bagnaia (Ducati) (+0.080s) dan Maverick Vinales (Aprilia) (+0.147s). 

Keputusan pada Ahad juga pastinya menggembirakan kem Ducati apabila tujuh jentera – termasuk GP23 dan GP22 – menghuni kelompok 10 terbaik sementara baki tiga lagi diisi dua jentera Aprilia RS-GP dan sebuah lagi Honda RC213V yang ditunggang Marc Marquez.

Namun, aspek yang paling ketara kesemua jentera yang mengisi kelompok 10 terbaik mengguna pakai enjin dengan konfigurasi V4. Sementara pasukan Monster Energy Yamaha, satu-satunya pasukan yang masih memberi kepercayaan pada enjin 4-inline, sekadar ke-19 terpantas menerusi Fabio Quartararo diikuti Franco Morbidelli di kedudukan ke-20. 

Meskipun jentera Yamaha M1 itu merekodkan kelajuan maksima yang lebih baik kali ini bermula di Sepang Shakedown menerusi pelumba uji Cal Crutchlow namun catatan masa sewaktu Ujian Rasmi ternyata membimbangkan. 

Hari kedua ujian merupakan satu-satunya catatan masa baik yang berjaya dilakar Quartararo apabila muncul pelumba ke-4 terpantas di samping merekodkan ‘top speed’ 335.4km/j. 

Namun, aksi tidak konsisten pada hari pertama dan ketiga tidak dapat menyembunyikan senario bahawa terdapat jurang besar antara jentera Yamaha M1 dengan jentera Ducati, Aprilia dan Honda. 

Sebaik hari ketiga berakhir, Quartararo mengakui perasaannya bercampur aduk ketika ini. 

“Saya gembira dengan ‘top speed’ dan kelajuan tetapi tayar baharu ini satu malapetaka. Kami tidak pasti kenapa kami mempunyai jarang besar (dari segi catatan masa) dengan pelumba lain. 

“Jadi kami perlu menetapkan jentera semula di Portimao. 

“Kami akan lihat jika sesuatu berjaya dilakukan,” ujar juara dunia musim 2020 itu. 

Sekiranya Yamaha gagal mencari solusi dalam mengurangkan jurang antara jentera mereka dengan pengeluar lain, pastinya Quartararo bakal berdepan cabaran lebih sukar musim ini berbanding tahun lalu. 

Ini kerana jentera berusia setahun seperti Ducati GP22 yang ditunggang Luca Marini dan Marco Bezzecchi bagi pasukan VR46 masih mampu melakar masa yang jauh lebih baik. 

Tidak lupa juga, Yamaha perlu menghadapi saingan sengit dari Aprilia yang kini menurunkan empat pelumba hasil penyertaan pasukan satelit RNF Racing. 

Sebagai satu-satunya pasukan dengan enjin 4-inline dan tanpa sokongan pasukan satelit – setelah RNF Racing kendalian Datuk Razlan Razali berpindah ke Aprilia – Yamaha mungkin berdepan masalah besar musim ini.

Namun, pasukan dibawah penyeliaan Lin Jarvis itu masih mempunyai peluang di Portimao, Portugal bagi memcari penyelesaian yang dinamik.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]