Jenama motosikal Thailand, GPX semakin mendapat tempat di pasaran Asia Tenggara selepas memperkenalkan beberapa siri motosikal.
Terbaru, GPX terus memperkembangkan portfolio mereka dengan pelancaran GPX Tuscany 150, sebuah skuter gaya retro yang kelihatan diinspirasikan daripada jenama popular, Vespa.
Menariknya, Tuscany 150 merupakan hasil usahama antara GPX dan pengeluar skuter Taiwan, SYM. Kedua-duanya pernah berkerjasama sebelum ini menerusi skuter GPX Drone yang dilancarkan pada hujung tahun 2020.
Bagi pasaran Thailand, GPX Tuscany 150 tampil dengan dua varian namun kedua-duanya hanya dibezakan dengan sistem kunci dengan varian tertinggi datang dengan fungsi ‘keyless’.
Dalam pada itu, Tuscany 150 dikuasakan enjin satu silinder 149.6cc SOHC, 2-valve dengan penyejukan udara dan menawarkan transmisi automatik jenis CVT.
Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk:
- fork teleskopik depan
- penyerap hentakan belakang (berkembar)
- cakera brek depan
- sistem brek CBS (combine braking system)
- tayar 110/70-12 depan
- tayar 120/70-12 belakang
Meskipun tampak retro, Tuscany 150 ini masih lagi datang dengan ciri moden seperti panel meter digital LCD, lampu LED dan pengecas USB.
Pada masa sama, skuter ini juga dilengkapi tangki bahan api 5.7L dan ruang letak barang (bawah tempat duduk) 27L.
Menurut GPX, Tuscany 150 ini dijual pada harga THB63,700 (RM8.1k).