Sepang Shakedown: Yamaha Uji ‘Winglet’ Baharu Di Hari Kedua

Hari kedua ujian tertutup ‘Sepang Shakedown’ menyaksikan Yamaha giat menguji jentera Yamaha YZR-M1 dengan pelumba uji Cal Crutchlow. 

Hari pertama di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan Crutchlow berjaya mencatatkan kelajuan maksima 330km/j, naik 3km/j berbanding musim lalu. 

Ini sekaligus menyaksikan Yamaha cuba menunaikan permintaan Fabio Quartararo dalam menghadirkan kelajuan maksima yang lebih tinggi dalam usaha menyaingi jentera Ducati. 

Bagaimanapun, hari kedua di SIC menyaksikan Crutchlow turun ke litar dengan menguji pakej aerodinamik terbaru.

Ciri aerodinamik terutamanya bahagian winglet depan itu tidak pernah dipamerkan sebelum ini. Sekali pandang, winglet baharu itu tampak seperti yang terdapat pada jentera Aprilia RS-GP meskipun sedikit berbeza.

Ini bermakna bagi tahun 2023, jurutera Yamaha bukan hanya beri fokus menaik taraf enjin 4-inline tersebut malah mempertingkatkan pakej aerodnimak. Langkah sama juga dilakukan Suzuki musim lalu yang menyaksikan GSX-RR berjaya menyaingi Ducati terutamanya di bahagian lurus. 

Bagaimanapun, sama ada pakej aerodinamik itu akan dikekalkan bergantung kepada pelumba utama, Quartararo dan Franco Morbidelli yang akan turun pada hujung minggu ini bagi sesi ujian rasmi.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]