RASMI: Kawasaki Ninja ZX-4R Dilancarkan – 79.1HP Dengan Ram-Air

Setelah sekian lama khabar angin berlegar, Kawasaki dengan rasminya melancarkan Kawasaki Ninja ZX-4R di Amerika Syarikat. 

Tampil dengan tiga varian; ZX-4R, ZX-4R SE dan ZX-4RR, jentera terbaru ini dijangka akan mencorak pasaran motosikal antarabangsa.

Sebelum itu, perlu diingatkan bahawa Ninja ZX-4R ini tiada kaitan dengan Ninja 400 sedia ada, kerana meskipun kedua-dua model ini digerakan enjin 400cc, Ninja ZX-4R merupakan enjin empat-inline. 

Menurut Kawasaki, Ninja ZX-4R ini menawarkan 79.1hp dengan bantuan Ram-Air.

Bahagian enjin pula menempatkan platform 399cc 4-stroke DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan ‘rev limit’ lebih 15,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac basah. 

Menariknya, Kawasaki mengekalkan kerangka sama yang diguna pakai pada ZX-25R ekoran terbukti mampu menahan platform yang dahagakan rev tinggi tu. 

Dalam pada itu, pakej suspensi pula hadir menerusi fork Showa SFF-BP di bahagian depan dan suspensi jenis ‘horizontal back-link’ di bahagian belakang. 

Bagaimanapun, ciri suspensi Showa itu berbeza mengikut varian dengan varian ZX-4R SE dan ZX-4RR menawarkan fork depan boleh laras (preload) manakala versi RR juga dilengkapi penyerap hentakan Showa BFRC-lite sama seperti yang terdapat pada ZX-10R. 

Sistem brek pula menampilkan caker brek berkembar 290mm depan dan 220mm belakang yang diapit kaliper brek radial 4-pot depan dan 2-pot belakang. 

Pakej elektronik pula menampilkan sistem ‘traction control’ KTRC, empat mod menunggang (Sport, Road, Rain dan Rider), quickshifter (atas/bawah) hanya bagi varian SE dan RR, panel meter LCD berwarna 4.3-inci yang boleh dihubungkan ke aplikasi Kawasaki Rideology.

Selan itu, ciri lain yang turut ditawarkan adalah seperti berikut:

  • tangki 15L
  • ketinggian tempat duduk 800mm
  • jarak kelegaan tanah 135mm
  • tayar 120/70-17 depan, 160/60-17 belakang

Menurut Kawasaki Amerika Syarikat, Kawasaki Ninja ZX-4R itu akan mula dipasarkan pada pertengahan 2023 dengan harga USD9,699 (RM41.3k). 

GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4R 2023

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]