KTM Bangunkan Enjin Parallel-Twin 690 Baharu

Beberapa tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Stefan Pierer mengakui pihaknya sedang membangunkan barisan model baharu yang akan dikuasakan platform parallel-twin 490cc bagi menggantikan model satu silinder 390cc. 

Beberapa model 490 turut disebut sewaktu sesi pembentangan kepada pelabur. Bagaimanapun, sejak dari itu, perkembangan model 490 tersebut terus terdiam sehingga kini. 

Dalam perkembangan terbaru, Pierer mengesahkan bahawa KTM telah membuat keputusan untuk menghentikan projek 490 itu serta-merta. Pierer turut mendedahkan faktor disebalik keputusan mengejut itu secara terperinci. 

CEO KTM, Stefan Pierer

Pertamanya, projek 490 dihentikan ekoran faktor kos yang terlalu tinggi dalam membangunkan enjin parallel-twin berkapasiti kecil. 

Menurut KTM, kos rekaan dan pembangunan serta ujian sahaja menelan belanja besar dan jenama motosikal Austria itu berasakan usaha besar itu tidak berbaloi bagi segmen pasaran 490cc. 

Sebaliknya, KTM membuat keputusan untuk membangunkan platform parallel-twin 690 daripada enjin 790cc sedia ada dengan bantuan rakan kongsi  dari China, CFMoto. 

Lebih menarik, Pierer memaklumkan bahawa unit 690 itu akan menawarkan lebih 70hp sekaligus bakal menandingi Yamaha MT-07, YZF-R7 dan Triumph Trident 660. 

Keputusan KTM untuk bangunkan jentera segmen 700cc sememangnya relevan apatah lagi terdapat permintaan tinggi dikalangan bukan sahaja penunggang berpengalaman malah mereka yang baru mula berjinak dengan jentera berkuasa tinggi. 

Enjin LC8c

Pada masa sama, mengambil kira permintaan terhadap motosikal berenjin satu silinder 690 agak kecil maka beralih kepada platform parallel-twin lebih masuk akal. 

Jelas Pierer lagi, model baharu dengan enjin parallel-twin 690cc itu akan  diperkenalkan pada tahun 2024 dan akan dihasilkan CFMoto. Senario itu memberi bayangan bahawa model serba baharu itu akan datang dengan tanda harga yang lebih kompetitif. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]