Kerjasama Bajaj-KTM Berjaya Jual Lebih 1 Juta Motosikal

Rata-rata pengeluar motosikal dunia telah mula mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama dengan pengeluar lain dalam usaha menembusi pasaran yang lebih luas.

BMW antaranya telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat India, TVS Motor Company  bagi pembangunan model G 310 dan syarikat China, Loncin bagi model C 400 X/GT, F 850 GS dan F 900 R/XR. 

Triumph Motorcycles juga bakal memperkenalkan model sulung – jangkaan bawah 500cc – hasil kerjsama dengan gergasi India, Bajaj Auto.

Namun begitu, KTM terlebih awal menoktahkan kejayaan bersama Bajaj.

Bajaj merupakan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan model 400cc ke bawah bagi KTM yang merangkumi model Duke 200, 250 dan 390, 250 dan 390 Adventure serta RC 390. 

Kesemua model ini cukup laris terutamanya di pasaran Asia dan Eropah sehinggakan kerjasama antara kedua-dua jenama itu merekodkan jualan lebih satu juta motosikal. 

Kejayaan itu dicapai bukan hanya disebabkan faktor mampu milik malah barisan model bawah 400cc KTM terutamanya model 390 berjaya menarik minat bukan sahaja penunggang baharu malah berpengalaman. 

Untuk rekod, Bajaj juga bertanggungjawab menghasilkan model Husqvarna antaranya Svartpilen dan Vitpilen 401 serta 250. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]