Benelli TRK502 Paling Popular Di Itali Tahun 2022, Atasi Jualan BMW R 1250 GS

BMW R 1200 GS merupakan motosikal paling laris di Itali dari tahun 2017 hingga 2019. 

Dalam tempoh tiga tahun itu, BMW berjaya menjual 11,439 unit R 1200 GS dengan tahun 2019 mencatatkan jualan tertinggi dengan 4,069.

Bagaimanapun, memasuki tahun 2020, populariti motosikal adventure dari Jerman itu yang telah dinaik taraf kepada R 1250 GS mula jatuh dengan kemunculan Benelli TRK 502. 

Motosikal adventure buatan China itu muncul terlaris bermula tahun 2020 dengan 3,569 unit terjual sebelum jualan meningkat hampir dua kali ganda tahun berikutnya dengan 6,543 unit jualan direkodkan. 

Angka jualan itu terus meningkat pada tahun 2022, apabila 6,645 unit TRK502 dijual dan terus mengesahkan kedudukan sebagai model popular bagi tiga tahun berturut-turut. 

Persoalannya, apakah rahsia utama Benelli TRK502 dalam mengatasi populariti BMW R 1200/1250 GS sebelum itu?

Jika dibandingkan antara kedua-dua model tersebut, pastinya BMW R 1200/1250 GS berada dalam kelas tersendiri apatah lagi datang dengan kapasiti enjin yang lebih besar lantas jauh lebih berkuasa. 

Namun begitu, faktor harga mampu milik yang ditawarkan TRK502 menjadi daya tarikan utama apatah lagi model buatan China itu bukan sahaja menarik perhatian penunggang berpengalaman malah penunggang baharu dan muda. 

Untuk rekod, Benelli TRK502 dikuasakan enjin parallel-twin yang menawarkan 47hp dan 45Nm. Angka kuasa itu juga sudah cukup untuk menghadirkan pengalaman menunggang yang baik terutamanya untuk menempuh perjalanan jauh. 

Sementara itu, Yamaha Tenere 700 muncul model ketiga popular dengan 2,762 berjaya dijual diikuti Keeway RKF 125 (2,589) dan Moto Guzzi V7 (2,536). 

Berikut senarai 10 motosikal paling laris di Itali tahun 2022 (bagi kategori motosikal bersaiz penuh) :

  1. Benelli TRK502/TRK502X – 6,645 unit
  2. BMW R 1250 GS – 4,062 unit
  3. Yamaha Tenere 700 – 2,762 unit
  4. Keeway RKF 125 – 2,589 unit
  5. Moto Guzzi V7 – 2,536 unit
  6. BMW R 1250 GS Adventure – 2,531 unit
  7. Ducati Multistrada V4/V4 S – 2,469 unit
  8. Royal Enfield Meteor 350 – 2,380 unit
  9. Moto Morini X-Cape 650 – 2,298 unit
  10. Honda CRF1100L Africa Twin – 2,203 unit
Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]