MotoGP: Yamaha Akui Pertimbang Enjin V4

Tidak dinafikan, Yamaha bergelut dalam saingan kejuaraan dunia MotoGP musim 2022.

Jentera Yamaha YZR-M1 ditunggang juara dunia 2021 Fabio Quartararo, gagal memberi saingan terhadap kuda merah Ducati yang dikuasakan platform V4. 

Quartararo juga beberapa kali bersuara jenteranya tidak cukup pantas musim ini sehinggakan menggangg fokusnya di awal musim 2022. 

Pelumba kelahiran Perancis itu hanya menamatkan saingan di tempat kesembilan pada aksi pembukaan di Qatar, kelapan di Argentina dan ketujuh di Austin, Amerika Syarikat sebelum bangkit semula pada pusingan di Eropah dengan tiga kemenangan.

Namun, senario itu tidak cukup untuk menyekat kemaraan Ducati dengan Francesco Bagnaia muncul juara dunia bagi musim 2022. 

Disebabkan itu, ada yang mula bangkitkan cadangan agar Yamaha perlu beralih ke enjin V4 apatah pengeluar motosikal Jepun itu bakal menjadi satu-satunya pasukan dengan enjin ‘inline-four’ bagi musim 2023 selepas penarikan diri Suzuki. 

Bagaimanapun, Ketua Projek Yamaha MotoGP, Kazutoshi Seki, menjelaskan masih banyak ruang yang boleh diperbaiki pada platform ‘inline-four’ sedia ada.

“Kami memahami apa yang ‘rider’ mahukan daripada jentera mereka, terutamanya ‘top speed’.

“Tetapi ada aspek lain yang juga perlu diberikan perhatian antaranya ketahanan dan perwatakan enjin. Jika kami hanya beri fokus pada ‘top speed’ sahaja, enjin itu mungkin menjadi terlalu agresif.

“Pada masa sama, memastikan enjin kekal di tahap optimum bukan kerja mudah, sebaliknya amat sukar,” jelas Seki. 

Selain daripada enjin, Seki juga menjelaskan bahawa pasukan itu juga perlu memandang serius pembangunan chasis dan aerodinamik. 

Namun, Seki akui sukar untuk memenangi perlumbaan ketika ini ekoran pengeluar lain semakin kuat. 

“Saya rasa amat sukar untuk menang dengan mengekalkan konsep sama kerana pengeluar lain memberi saingan kuat jadi kami cuba mewujudkan keseimbangan antara enjin berkuasa namun dengan aliran kuasa yang lebih lancar,” tambahnya. 

Meskipun begitu, Seki akui pasukan itu tidak menolak kemungkinan untuk mencuba platform lain. 

“Ketika ini masih banyak ruang untuk diperbaiki pada enjin ‘inline-four’ tetapi jika kami rasa enjin lain mempunyai kelebihan yang lebih baik berbanding ‘inline-four’ sudah tentu kami akan pertimbangkan.

“Saya rasa kami sedang menuju ke arah itu,” tambah Seki lagi.

Penjelasan itu secara tidak langsung memberi bayangan bahawa Yamaha akan beralih ke platform V4 tidak lama lagi. Bagaimanapun, langkah itu pastinya menjadi satu cabaran besar apatah lagi pengeluar motosikal Jepun itu tidak pernah membangunkan enjin dengan konfigurasi V4 setakat ini. 

Apa yang pasti, MotoGP musim 2023 bakal menjadi penentu sama ada perlunya Yamaha beralih ke V4 bermula dengan Sepang Shakedown yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Februari sebelum ujian rasmi pada 10 hingga 12 Februari depan di Litar Antarabangsa Sepang. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]