Rupa Jelas CFMOTO 800NK Didedahkan – Enjin KTM 790 DUKE, 99HP

Oktober lalu, CFMOTO mendedahkan sebuah jentera konsep diberi nama NK-C22 yang didakwa akan direalisasikan sebagai model pengeluaran yang akan dipasarkan tidak lama lagi. 

Bagaimanapun ketika itu tiada maklumat rasmi yang boleh mengesahkan dakwaan terbabit sehingga ke hari ini.

Namun, segala persoalan akhirnya terjawab menerusi dokumen kelulusan yang telah difailkan di China, baru-baru ini. 

Dokumen tersebut, yang turut dilampirkan dengan sebuah foto memaparkan model naked dengan nama NK800 yang mirip jentera konsep NK-C22 yang didedahkan beberapa bulan lalu. 

Dokumen tersebut juga bukan sahaja mendedahkan satu malah dua varian 800NK yang akan dihasilkan dan dibezakan dengan ciri yang lebih premium dan warna berbeza – serba hitam pada model standard. 

*CFMOTO 800NK versi standard.

Menariknya, foto tersebut membuktikan 800NK datang dengan rekaan yang moden dan agresif setara dengan motosikal ‘naked’ sedia ada antaranya Honda CB750 Hornet dan Suzuki GSX-8S baharu.

Lebih mengagumkan, tidak banyak perbezaan antara 800NK dan model konsep NK-C22 kecuali ‘swingarm’ yang bertukar dari ‘single-sided’ kepada ‘swingarm’ konvensional.

Sementara itu, komponen lain pula digantikan daripada gentian karbon kepada elemen plastik.

*CFMOTO 800NK

Namun begitu, tidak hairan mengapa 800NK datang dengan rekaan yang cantik kerana jentera tersebut direka Kiska Studios, pihak sama yang menghasilkan rekaan bagi jentera KTM.

Pertalian dengan KTM juga tidak berakhir disitu kerana CFMOTO 800NK ini dikuasakan enjin LC8 parallel-twin 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 Duke. Namun, enjin tersebut ditala semula bagi menghasilkan 99hp berbanding 105hp pada 790 Duke. 

Enjin LC8c

Untuk rekod, CFMOTO memegang hak terhadap enjin LC8 799cc dan turut menghasilkan 790 Duke dan 790 Adventure bagi pihak KTM. 

Selain itu, dokumen itu juga mendedahken 800NK turut berkongsi beberapa ciri sama dengan 790 Duke antaranya fork depan jenis USD dengan ‘swingarm’ aloi, dan kaliper brek berkembar 4-piston dari J.Juan.

CFMOTO dijangka melancarkan 800NK pada awal 2023 untuk pasaran Asia dan Eropah termasuk Amerika. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]