Selepas beberapa tahun menyepi mengenai kerjasama Harley-Davidson dan QJMotor dibangkitkan pada 2019, akhirnya model sulung hasil usaha sama itu didedahkan kepada umum.
Pendedahan itu dibuat berdasarkan dokumen kelulusan yang difailkan di China baru-baru ini.
Memaparkan kod nama HD500 (namun akan dipasarkan sebagai X500), model tersebut dikuasakan enjin parallel-twin 500cc yang sama terdapat pada Benelli Leoncino 500 sekaligus menawarkan 47hp.
Dokumen tersebut juga memaparkan rupa jelas Harley-Davidson X500 terbabit yang ternyata mendapat inspirasi daripada motosikal ‘flat tracker’.
Menurut info dikongsikan, X500 itu mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 160km/j dengan berat 206kg.
Menariknya, Harley-Davidson X500 ini juga dilengkapi cakera brek dan kaliper radial yang sama diambil dari Leoncino 500.
Untuk rekod, Harley-Davidson X500 dan X350 ini akan dihasilkan Zhejiang Jisheng Motor Vehicle Co Ltd, sebuah syarikat baharu yang dibangunkan Harley-Davidson bersama Qianjiang.
Dua model baharu ini adalah antara usaha Harley-Davidson dalam menembusi pasaran baharu yang lebih luas ekoran jenama itu sebelum ini hanya mensasarkan golongan yang berkemampuan sahaja.
Apa yang pasti, kedua-dua model ini akan dijual untuk pasaran Asia tidak lama lagi.