Kove 400RR Dirasmikan – 400cc 4-Silinder, 67HP

Pengeluar motosikal China, Kove dengan rasminya memperkenalkan Kove 400RR, sebuah jentera 4-silinder dengan kapasiti enjin 400cc.

Berdasarkan info yang diperolehi, Kove bukan sahaja akan memasarkan 400RR di China malah akan turut mengorak langkah menembusi pasaran antarabangsa dengan model tersebut. 

Kove 400RR akan mengekalkan sebahagian besar ciri yang ada pada model konsep yang didedahkan sebelum ini kecuali bahagian swingarm yang digantikan dengan swingarm konvensional berbanding ‘single-sided’ sebelum ini. 

Lebih menarik, reka bentuk Kove 400RR ini tampak luar biasa terutamanya di bahagian depan yang menempatkan lampu LED yang berbentuk seakan ‘winglet’. Terletak di antara dua lampu hadapan itu adalah corong udara (air intake) yang menyerlahkan lagi rupa motosikal tersebut. 

Bagaimanapun, Kove 400RR ini masih juga didatangkan dengan ‘winglet’ aerodinamik di panel sisi. 

Namun, ciri paling mencuri tumpuan terarah kepada bahagian enjin, dengan Kove 400RR ini dikuasakan enjin empat silinder 400cc DOHC dengan penyejukan cecair yang dibangunkan sendiri oleh Kove. 

Menurut spesifikasi yang didedahkan, enjin tersebut menghasilkan 67hp pada 13,500rpm dan 29.3Nm pada 12,000rpm. Angka kuasa itu cukup mengagumkan bagi enjin dengan kapasiti 400cc. 

Lebih menarik, Kove mendakwa 400RR ini hanya seberat 158kg dan mampu merekodkan kelajuan maksima 220km/j. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • tangki 15L
  • berat 160kg
  • cakera brek berkembar 300mm depan
  • cakera brek tunggal 200mm belakang
  • lampu LED penuh
  • paparan digital LCD dengan fungsi Bluetooth

Info lebih terperinci dijangka akan dikongsikan sebaik Kove mendedahkan jentera ini di EICMA, minggu ini. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]